Nga Terima Anugerah Kepimpinan Bandar Lestari MalaysiaGBC

KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menerima Anugerah Kepimpinan dalam Bandar Lestari MalaysiaGBC 2026 atas peranannya memajukan pembangunan bandar yang mampan.

Nga menerusi hantaran Facebook berkata pengiktirafan itu mencerminkan usaha menyeluruh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pihak berkuasa tempatan, rakan industri dan komuniti dalam membina bandar yang mampan, berdaya tahan dan inklusif.

“Kemampanan bukan lagi satu pilihan. Dalam menghadapi pembandaran yang pesat, perubahan iklim dan kekurangan sumber, ia mesti menjadi tonggak asas dalam cara kita membangunkan rumah, mereka bentuk ruang awam dan mengurus bandar kita,” katanya.

Nga berkata kemampanan sedang diterapkan dalam seluruh ekosistem bandar melalui inisiatif seperti Dasar Perumahan Negara 2026-2035 yang mempromosikan teknologi pembinaan moden termasuk Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Pembinaan Volumetrik Siap Pasang Berkemasan (PPVC).

Beliau berkata KPKT juga sedang melaksanakan inisiatif MY Public Space dengan kerjasama UN-Habitat untuk membangunkan ruang awam yang hijau, inklusif dan berpusatkan komuniti manakala sistem lampu isyarat pintar dan pusat arahan sedang digunakan untuk menambah baik pengurusan bandar.

Mengenai pengurusan sisa, Nga berkata Malaysia menghasilkan lebih 39,000 tan sisa pepejal setiap hari yang memerlukan negara beralih ke arah ekonomi kitaran.

Beliau berkata menerusi rangka tindakan Ekonomi Kitaran 2025-2035 dan pembangunan kemudahan sisa kepada tenaga, Malaysia beralih daripada model tradisional ambil-buat-guna-buang kepada memastikan sumber digunakan untuk tempoh yang lebih lama.

Nga juga berkata Platform Bandar Malaysia-Cambridge bersama dengan kepakaran daripada badan profesional seperti Majlis Bangunan Hijau Malaysia (MalaysiaGBC) boleh membantu membangunkan kaedah penilaian hijau yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa, khususnya untuk ASEAN.

Anugerah itu disampaikan pada Majlis Makan Malam Anugerah Kepimpinan dalam Kelestarian MalaysiaGBC 2026 yang diadakan sempena Cities Climate Connect 2026 di sini.