TOKYO, 14 Ogos — Lapan orang maut di Wilayah Chiba selepas hujan lebat melanda timur Jepun, awal Jumaat, kata pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di bandar Chiba, Kashiwa, Ichikawa, Sakura dan Yachiyo, manakala empat orang mengalami kecederaan ringan, menurut Kerajaan Wilayah Chiba.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memaklumkan Bandar Chiba menerima 348 milimeter hujan dalam tempoh 12 jam hingga 1.40 pagi waktu tempatan pada Jumaat, jumlah paling banyak melanda wilayah itu berdasarkan rekod.
Hujan berkenaan adalah kira-kira tiga kali ganda purata hujan bandar untuk keseluruhan Ogos, dengan hujan turun hanya dalam setengah hari.
JMA sebelum ini mengeluarkan amaran kecemasan Tahap 5 untuk hujan lebat dan tanah runtuh di beberapa bahagian Wilayah Chiba iaitu tahap amaran tertingginya.
Semua amaran telah diturunkan pada pagi Jumaat kepada Tahap 4 atau lebih rendah.
Pegawai cuaca memberi amaran kemungkinan hujan berlaku lagi dan menggesa orang ramai supaya terus berwaspada.
Menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana, setakat 11 pagi waktu tempatan pada Jumaat, arahan berpindah kekal berkuat kuasa untuk kira-kira 102,600 orang di Wilayah Chiba.
Kira-kira 7,000 penumpang terkandas semalaman di Lapangan Terbang Narita di wilayah itu kerana hujan lebat melumpuhkan operasi kereta api dan bas, kata pengendali lapangan terbang itu.













Tinggalkan Balasan