Kebakaran Hutan Sepanyol Paksa 855 Penduduk Berpindah, Ancam Biara Bersejarah

OVIEDO (Sepanyol), 14 Ogos — Kebakaran hutan besar di wilayah Aragon, timur laut Sepanyol memaksa 855 penduduk meninggalkan kediaman mereka dan mengancam sebuah biara bersejarah ketika kebakaran terus merebak di kawasan seluas lebih 10,000 hektar, lapor Anadolu Ajansi.

Kebakaran hutan Las Penas de Riglos masih aktif pada Jumaat selepas api kembali marak pada waktu malam sehingga memaksa empat lagi komuniti dipindahkan, menjadikan jumlah bandar dan kampung yang terjejas dengan pemindahan itu kepada 16, menurut kerajaan wilayah Aragon.

Pihak berkuasa amat bimbang mengenai Biara San Juan de la Pena, sebuah kompleks zaman pertengahan yang mengagumkan dan dibina di bawah batu besar yang menjulur.

Sebagai antara biara terpenting di Aragon pada zaman pertengahan, kompleks itu berkait rapat dengan asal usul Kerajaan Aragon dan menempatkan tinggalan yang dikaitkan dengan beberapa raja terawalnya.

Kebakaran menghampiri biara itu pada Khamis tanpa menjejaskan kompleks berkenaan, namun serpihan terbakar yang jatuh berhampiran mendorong pihak berkuasa memindahkan beberapa artifak paling bernilai sebagai langkah berjaga-jaga.

Anggota tentera Sepanyol dengan kerjasama pegawai warisan wilayah dan anggota perlindungan alam semula jadi memindahkan tinggalan jasad manusia serta barangan lain yang dikaitkan dengan raja-raja awal Aragon, selain lukisan, relik dan pakaian asli milik Count of Aranda.

Lebih 500 anggota bomba dan 35 pesawat dikerahkan, menurut kerajaan wilayah itu. Perancis turut diminta menghantar pesawat tambahan dalam tempoh beberapa jam akan datang.

Kebakaran hutan itu berlaku ketika Sepanyol mengalami musim panas yang luar biasa panas. Gabungan Jun dan Julai merupakan tempoh paling panas sejak rekod mula dicatatkan pada 1961, dengan purata suhu 2.9 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata 1991 hingga 2020, menurut agensi cuaca Sepanyol.

Cuaca panas itu berlaku serentak dengan kekurangan hujan, sekali gus mencetuskan satu lagi musim kebakaran hutan yang serius.

Pada akhir Julai, kebakaran di Avila memusnahkan lebih 50,000 hektar kawasan, menjadikannya kebakaran yang disifatkan Menteri Dalam Negeri sebagai “yang terbesar dan paling agresif dalam sejarah Sepanyol”. Pada awal bulan sama, kebakaran di wilayah Almeria meragut 14 nyawa.