MELAKA, 15 Ogos — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah baik.
Presiden PKR itu juga menyifatkan pandangan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang mendakwa hubungan mereka retak sebagai pandangan peribadi bekas Ahli Parlimen Rembau tersebut.
“Memang dia (Khairy) selalu lihat dari segi cara gaduh. Saya lihat cara damai dan itu yang berbeza,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan amanat Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka hari ini.
Anwar berkata sebarang perbezaan pandangan dalam parti atau antara parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan boleh diselesaikan melalui perbincangan dan pendekatan damai.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata beliau pada kongres itu juga menyatakan penghargaan terhadap peranan Ahmad Zahid selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO dalam merealisasikan pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
“Sebab itu, tadi saya ucap terima kasih dalam ucapan saya tentang peranan Ahmad Zahid dan UMNO dan selaku Pengerusi BN dalam memeterai Kerajaan Perpaduan peringkat awal,” kata beliau.
Semalam, Khairy mendakwa kepercayaan antara Anwar dan Ahmad Zahid berada pada tahap paling rendah sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk pada 2022.
Khairy berkata perkara itu susulan hubungan antara BN dan PH yang semakin mencabar, khususnya selepas BN bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
















Tinggalkan Balasan