Polis Tahan Tiga Lelaki Disyaki Terbabit Sindiket Penipuan Dalam Talian

IPOH, 16 Ogos — Polis menahan tiga lelaki dalam lima serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor kerana disyaki terbabit dengan sindiket penipuan dalam talian. 

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kesemua suspek berumur 32 hingga 45 tahun itu berjaya ditahan di beberapa lokasi di Petaling Jaya, Kelana Jaya, Ulu Kelang, Damansara dan Kuala Lumpur pada 13 Ogos lepas.

Beliau berkata penahanan itu susulan pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 22 tahun yang mengalami kerugian sebanyak RM28,999 akibat terperdaya dengan pihak yang menyamar sebagai penguat kuasa undang-undang yang mendakwa kononnya mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.

“Mangsa yang merupakan penuntut institusi pengajian tinggi menerima panggilan pada 31 Julai lepas daripada sindiket berkenaan yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran dan mendakwa wujud suatu kiriman bungkusan mengandungi barangan terlarang atas nama mangsa.

“Panggilan tersebut seterusnya disambungkan kepada pihak yang menyamar sebagai penguat kuasa undang-undang yang mendakwa mangsa turut terlibat dalam pengubahan wang haram. Mangsa ditakutkan dengan tindakan tangkapan dan pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Alwi berkata akibat ketakutan, mangsa telah mengikut segala arahan daripada sindiket penipuan terbabit dengan memindahkan wang tunai sebanyak RM8,999 ke beberapa akaun selain turut meletakkan barang kemas, iaitu rantai, cicin, subang dan gelang emas dengan anggaran bernilai RM20,000 di atas tembok rumah mangsa di Kampar.

Beliau berkata wang tunai dan barang kemas itu dikatakan akan diserahkan kembali setelah siasatan selesai, namun mangsa menyedari dirinya telah ditipu apabila semua wang tunai dan barang kemas itu tidak diperoleh kembali, lalu mangsa membuat laporan polis pada 1 Ogos.

Mohd Alwi berkata sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar telah mengumpul maklumat risikan dan menjejak ahli-ahli sindiket berkenaan.

Beliau berkata hasil serbuan tersebut, pihaknya turut merampas lapan unit SIM Box, 11 unit Starlink, 509 keping kad sim, satu unit komputer riba, dua unit router dan lima unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan oleh sindiket ini sebagai call gateway bagi membantu mengurus laluan aliran komunikasi yang digunakan oleh sindiket penipuan dalam talian yang dipercayai beroperasi dari luar negara.

“Peranti komunikasi yang dirampas ini digunakan oleh sindiket bagi menyukarkan pihak penguat kuasa menjejak panggilan yang dibuat oleh sindiket penipuan dalam talian berkenaan.

“Kesemua tangkapan direman selama empat hari bermula dari Jumaat lepas hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.