CHUKAI, 16 Ogos — Sekumpulan gajah liar dikesan berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran susur keluar Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Plaza Tol Cheneh, di sini sejak semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Dennis Ten Choon Yung berkata pihaknya menerima aduan daripada pengurusan LPT2 kira-kira 9.30 pagi semalam, mengenai kehadiran gajah di kawasan berkenaan.
Beliau berkata lima anggota Perhilitan Daerah Kemaman telah ke lokasi bagi menjalankan pemantauan dan mendapati sekumpulan gajah berkenaan masih berada di dalam kawasan ladang kelapa sawit berhampiran LPT2 Cheneh.
“Kawasan hutan simpan yang terdekat dengan lokasi berkenaan ialah Hutan Simpan Bukit Bandi dan Hutan Simpan Cerul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Perhilitan turut menjalankan kawalan pada waktu malam serta pemantauan menggunakan teknologi dron di kawasan terbabit, bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan orang awam.
“Khidmat nasihat turut diberikan kepada pekerja dan peronda LPT2 supaya sentiasa berhati-hati, serta tidak melakukan sebarang provokasi terhadap gajah liar berkenaan. Mereka juga diminta segera memaklumkan kepada pihak Perhilitan sekiranya berlaku sebarang gangguan oleh gajah liar tersebut,” katanya.
Selain itu Dennis menasihati pengguna jalan raya supaya tidak panik atau menghampiri gajah, selain tidak membaling objek, membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi dan lampu suluh ke arah haiwan berkenaan.

















Tinggalkan Balasan