GEORGE TOWN, 16 Ogos — Universiti Sains Malaysia (USM) muncul sebagai universiti nombor satu di Malaysia dalam Academic Ranking of World Universities (ARWU) 2026 selepas melonjak 149 anak tangga untuk menduduki tempat ke-581 dunia berbanding ke-730 tahun lepas.
Dalam kenyataan hari ini, USM memaklumkan pencapaian itu turut menyaksikan universiti itu memperbaiki kedudukan di peringkat nasional daripada tempat ketiga pada 2025 kepada tempat pertama tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti penyelidikan yang berdaya saing di peringkat global.
USM memaklumkan pencapaian berkenaan amat signifikan memandangkan ARWU atau lebih dikenali sebagai ShanghaiRanking menggunakan indikator berasaskan pencapaian akademik dan penyelidikan, bukan sekadar mengukur reputasi atau persepsi terhadap sesebuah universiti.
“Antara indikator digunakan ialah alumni dan staf memenangi Hadiah Nobel serta Fields Medal, jumlah Highly Cited Researchers (HiCi) diiktiraf Clarivate, penerbitan dalam jurnal Nature dan Science, penerbitan yang diindeks dalam Science Citation Index-Expanded (SCIE) dan Social Sciences Citation Index (SSCI), selain prestasi akademik per kapita institusi.
“30 peratus daripada keseluruhan penilaian ARWU berkaitan pemenang Hadiah Nobel dan Fields Medal manakala 20 peratus lagi diberikan kepada HiCi. Ini bermakna separuh daripada penilaian ARWU berkait secara langsung dengan pencapaian akademik bertaraf dunia dan penyelidik yang mempunyai pengaruh sitasi sangat tinggi,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, pencapaian tersebut meletakkan USM setanding dengan universiti yang mempunyai tradisi penyelidikan kukuh, saintis dan sarjana berpengaruh serta ekosistem penyelidikan yang dibangunkan sejak beberapa dekad lepas.
USM memaklumkan kemampuan universiti itu melonjak 149 kedudukan dalam tempoh setahun merupakan pencapaian amat bermakna kerana lebih 2,500 universiti di seluruh dunia dinilai oleh ARWU setiap tahun, hanya 1,000 universiti terbaik diterbitkan dalam ranking tersebut.
“Dalam ARWU 2026, USM turut mencatat prestasi memberangsangkan dalam indikator Publication (PUB) apabila berada pada kedudukan ke-424 dunia dan lebih signifikan ialah peningkatan dalam indikator HiCi apabila USM berada pada kedudukan ke-503 dunia,” menurut kenyataan itu.
Peningkatan dalam HiCi membawa makna lebih besar daripada pertambahan bilangan penerbitan semata-mata kerana ia memberi isyarat bahawa penyelidikan yang dihasilkan warga USM semakin dirujuk, digunakan dan memberi pengaruh kepada perkembangan ilmu pada peringkat antarabangsa.
Menurut USM, ARWU bukan sahaja menilai jumlah penerbitan, tetapi turut melihat pengaruh penyelidik dan hasil penyelidikan universiti di peringkat dunia.
















Tinggalkan Balasan