Kes Penipuan E-dagang Naik 92 Peratus, Perlindungan Pengguna Perlu Diperkukuh – Shopee

KUALA LUMPUR, 17 Ogos — Perlindungan dan kepercayaan pengguna terhadap perdagangan digital perlu diperkukuh susulan peningkatan 92 peratus kes penipuan e-dagang pada suku pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Hal Ehwal Awam dan Hubungan Luar Shopee Malaysia Nik Emir Din berkata statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman itu menunjukkan penipu terus mengubah dan memperhalus taktik mereka.

“Atas sebab itu, kepercayaan tidak boleh dibina menerusi satu inisiatif atau peningkatan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu dipupuk secara berterusan melalui pelaburan dalam sistem, langkah perlindungan dan kerjasama bagi mewujudkan persekitaran digital yang selamat serta boleh dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata satu transaksi yang melibatkan penipuan boleh menjejaskan keyakinan bukan sahaja terhadap sesebuah platform, malah terhadap perdagangan digital secara keseluruhan.

Nik Emir berkata pengguna yang berasa lebih terlindung akan lebih yakin untuk mengambil bahagian, manakala perniagaan pula lebih bersedia melabur dalam saluran digital.

Beliau berkata platform digital memerlukan pendekatan berlapis yang menggabungkan teknologi, tadbir urus platform, pendidikan pengguna serta kerjasama dengan kerajaan dan pemain industri.

 “Shopee menjadi platform pertama dalam pasaran yang memperkenalkan penyelesaian escrow menerusi Shopee Guarantee, dengan pembayaran kepada penjual hanya dilepaskan selepas pembeli berpuas hati dengan pesanan diterima. Perlindungan itu kemudian disepadukan dalam polisi pemulangan

“Setiap penjual baharu di platform juga diwajibkan menjalani proses pengesahan Kenali Pelanggan Anda (KYC) bagi meningkatkan akauntabiliti,” katanya.

Beliau berkata teknologi kecerdasan buatan (AI) digunakan bersama pasukan moderasi dan siasatan untuk mengesan tingkah laku mencurigakan serta mengambil tindakan terhadap akaun atau penyenaraian yang melanggar polisi platform.

Nik Emir berkata mekanisme pembayaran selamat, perlindungan pembeli dan proses penyelesaian pertikaian pula menyediakan perlindungan tambahan sepanjang urusan jual beli.

Beliau berkata teknologi membolehkan platform mengesan aktiviti mencurigakan dan corak penipuan baharu dengan lebih pantas serta bertindak lebih cepat terhadap ancaman.

Bagaimanapun, beliau berkata pengguna juga perlu dibekalkan pengetahuan untuk mengenal pasti risiko, membuat keputusan yang selamat dan melaporkan aktiviti mencurigakan.

Beliau berkata Shopee menyediakan Pusat Bantuan, Hab Pendidikan Penjual, Shopee University, peringatan dalam aplikasi dan kandungan media sosial serta melaksanakan inisiatif Jom Beli Selamat bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Nik Emir berkata kerajaan, penguat kuasa, pemain industri dan platform digital perlu terus bekerjasama untuk memperkukuh peraturan, membanteras jenayah, berkongsi pengetahuan serta menambah baik perlindungan pengguna.

“Kepercayaan bukan sekadar berkaitan usaha mencegah penipuan, sebaliknya dapat meyakinkan masyarakat untuk menyertai ekonomi digital, memberikan kepastian kepada perniagaan untuk melabur dan berinovasi serta membolehkan perdagangan digital terus membuka peluang kepada komuniti di seluruh Malaysia,” katanya.