PUTRAJAYA, 18 Ogos — Lawatan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke Peking University menjadi platform untuk memperluas hubungan antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan China, khususnya dalam penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran serta mobiliti mahasiswa.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini memaklumkan lawatan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama strategik Malaysia-China dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi, teknologi dan pembangunan bakat.
“Lawatan ke Peking University memberi tumpuan kepada usaha memperluas hubungan antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan China, khususnya menerusi penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran dan ahli akademik, mobiliti mahasiswa serta pembangunan jaringan antara penyelidik kedua-dua negara.
“Usaha itu merupakan kesinambungan kepada kerjasama pendidikan tinggi Malaysia-China yang telah diperkukuh menerusi Memorandum Persefahaman antara kedua-dua negara serta penubuhan jawatankuasa bersama bagi membincangkan dan menggerakkan hala tuju kerjasama pendidikan tinggi dua hala,” menurut KPT.
Menurut kenyataan itu, Zambry mengadakan lawatan tersebut ketika berada di Beijing dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas menghadiri Mesyuarat Kelima Joint Russia–Malaysia Commission for Economic, Scientific, Technical and Cultural Cooperation (JC-ESTC) di Vladivostok, Rusia.
Menurut kenyataan itu, KPT melihat potensi besar untuk memperkukuh hubungan universiti Malaysia dengan institusi terkemuka di China dalam bidang strategik dan teknologi masa hadapan termasuk kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi, pengkomputeran, inovasi serta penyelidikan berimpak tinggi.
Dalam lawatan berasingan ke Huawei Beijing Research Institute, KPT memaklumkan bahawa Zambry telah diberikan penerangan mengenai perkembangan terkini penyelidikan dan teknologi Huawei, khususnya dalam bidang AI, pengkomputeran awan, teknologi digital dan pembangunan bakat masa hadapan.
Menurut kenyataan itu, Huawei mempunyai jaringan kerjasama yang luas dengan institusi pendidikan tinggi Malaysia menerusi pelbagai inisiatif termasuk Huawei ICT Academy, latihan dan pensijilan industri, pembangunan bakat digital serta kerjasama teknologi dan penyelidikan.
“Lawatan ke Peking University dan Huawei Beijing Research Institute menggambarkan pendekatan KPT dalam membangunkan ekosistem kerjasama antarabangsa yang lebih menyeluruh melalui dua dimensi utama, iaitu hubungan universiti dengan universiti serta hubungan universiti dengan industri.
“KPT percaya pengukuhan kedua-dua jaringan ini akan membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa, ahli akademik dan penyelidik Malaysia, selain mempercepat perkongsian ilmu, pembangunan teknologi dan penghasilan inovasi yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, dalam kenyataan sama Zambry berkata hubungan universiti-industri perlu diperkembangkan daripada latihan dan pensijilan kepada kerjasama lebih strategik melibatkan penyelidikan bersama, pembangunan teknologi, inovasi, AI, pembangunan bakat berkemahiran tinggi serta pemindahan ilmu dan kepakaran.
Beliau berkata perkembangan teknologi yang pantas memerlukan institusi pendidikan tinggi bukan sahaja mengikuti perubahan industri, malah menjadi rakan strategik dalam membangunkan teknologi dan bakat masa hadapan.
“Pendekatan ini juga selari dengan aspirasi pendidikan tinggi negara untuk memperkukuh hubungan universiti–industri dan memastikan mahasiswa serta penyelidik Malaysia mendapat pendedahan kepada teknologi, kepakaran dan ekosistem inovasi bertaraf global,” katanya.















Tinggalkan Balasan