UniMAP Perkukuh Jaringan Industri, Sasar Perkongsian Dalam Pembangunan Bakat

GEORGE TOWN, 18 Ogos — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh jaringan strategik bersama industri menerusi pendekatan kolaborasi yang lebih menyeluruh, khususnya dalam pembangunan bakat, penyelidikan, inovasi dan penyelesaian terhadap keperluan sebenar industri.

Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata hubungan universiti dan industri perlu dibangunkan sebagai perkongsian strategik yang mampu menghasilkan nilai bersama kepada mahasiswa, industri dan negara.

Beliau berkata matlamat UniMAP bukan sekadar menambah jumlah rakan industri, tetapi membina perkongsian yang lebih mendalam dalam pembangunan bakat, penyelidikan, inovasi dan penyelesaian terhadap cabaran sebenar industri.

“Pelajar yang kita bangunkan bersama hari ini berpotensi menjadi jurutera, pakar teknologi dan pemimpin masa hadapan, justeru hubungan universiti-industri perlu dibina sejak awal dan diperkukuh secara berterusan,” katanya ketika berucap pada UniMAP Industry Eminence Awards  2026 di sini malam tadi.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP serta Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro-Canselor UniMAP berkenan berangkat ke majlis itu.

Zaliman berkata kepercayaan industri terhadap kualiti bakat UniMAP turut dizahirkan menerusi pencapaian kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 99.4 peratus pada tahun lepas, selain pengiktirafan UniMAP sebagai antara sumber graduan pilihan syarikat multinasional bagi dua tahun berturut-turut.

Beliau berkata UniMAP melahirkan lebih 3,000 siswazah setiap tahun, khususnya dalam bidang strategik seperti kejuruteraan elektrik dan elektronik, semikonduktor, kejuruteraan serta teknologi, sekali gus menyediakan saluran bakat yang berterusan untuk memenuhi keperluan industri.

“Dalam usaha memastikan graduan benar-benar bersedia menghadapi perubahan landskap pekerjaan, UniMAP turut menggalakkan penglibatan industri secara lebih awal dalam proses pembangunan bakat termasuk melalui Panel Penasihat Industri, projek tahun akhir, program bimbingan, pensijilan profesional, latihan khusus serta pendedahan kepada teknologi dan persekitaran kerja sebenar,” katanya.

Sementara itu, UniMAP Industry Eminence Awards 2026 memberi pengiktirafan kepada 31 rakan industri strategik yang telah memberikan sumbangan signifikan dalam memperkukuh aspek pengajaran dan pembelajaran, pembangunan mahasiswa, penyelidikan serta inovasi universiti.

Majlis itu turut menjadi platform penghargaan kepada rakan industri yang terus mempercayai keupayaan UniMAP sebagai institusi pendidikan tinggi berteraskan teknologi dan kejuruteraan serta komited dalam membangunkan bakat masa hadapan.