China, Timor-Leste Ikrar Perkukuh Hubungan Ketenteraan

China bersedia bersama-sama Timor-Leste untuk memperkukuh koordinasi strategik, meningkatkan kualiti dan kecekapan kerjasama serta melonjakkan hubungan ketenteraan kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.

Menteri Pertahanan China Dong Jun membuat kenyataan itu semasa bertemu Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta di Dili pada Selasa.

Sepanjang berlangsungnya pertemuan, Dong berkata pemimpin kedua-dua negara telah mencapai siri konsensus penting mengenai pembangunan hubungan antara China dengan Timor-Leste dan membawakan jalinan ikatan itu ke fasa terbaik dalam sejarah.

Lawatan sulung kali ini diyakini akan membantu memperkukuh rasa saling percaya antara pasukan tentera, memperkasa kerjasama dalam bidang pertahanan serta memberi sokongan padu kepada pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Timor-Leste, ujar beliau.

Sementara itu, Ramos-Horta menzahirkan penghargaan terhadap sokongan dan bantuan yang diberikan China sejak kemerdekaan Timor-Leste, dan berharap pasukan tentera kedua-dua negara dapat terus memperdalam kerjasama dalam bidang yang substantif.

Beliau turut menambah bahawa Timor-Leste berpegang kepada prinsip Satu China dan sedia bekerjasama dengan China serta negara lain di rantau ini untuk menjadikan Laut China Selatan kekal sebagai perairan yang aman damai yang berorientasikan persahabatan dan kerjasama.