Malaysia, Pakistan Kongsi Pengalaman Depani Konflik, Ketegangan Politik

PUTRAJAYA, 23 Ogos — Pengalaman Malaysia dan Pakistan dalam memudah cara rundingan bagi menyelesaikan konflik menjadi antara perkara dikongsi dalam pertemuan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Angkatan Pertahanan Pakistan dan Ketua Staf Tentera Darat Field Marshal Syed Asim Munir.

Pertemuan dengan Syed Asim itu berlangsung di General Headquarters, Rawalpindi bersempena dengan lawatan rasmi Saifuddin Nasution ke Pakistan.

Saifuddin Nasution berkata pertemuan itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan serantau dan antarabangsa, termasuk pendekatan diplomasi dan usaha membina keamanan dalam mendepani konflik dan ketegangan geopolitik.

“Umum mengetahui Pakistan memainkan peranan penting dalam memudah cara rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran dalam menyelesaikan krisis terkait Selat Hormuz dan beliau berkongsi pengalaman Pakistan dalam memudah cara rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran.

“Saya pula berkongsi pengalaman Malaysia memudah cara rundingan antara Thailand dan Kemboja yang akhirnya membawa kepada persetujuan gencatan senjata,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Saifuddin Nasution berkata pengalaman kedua-dua negara turut membuktikan bahawa walaupun berdepan cabaran yang berbeza, diplomasi, dialog dan pembinaan keyakinan kekal menjadi asas paling berkesan dalam meredakan ketegangan dan membuka jalan kepada penyelesaian secara aman.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Malaysia akan terus mendukung pendekatan diplomasi dan penyelesaian konflik melalui rundingan, selaras dengan komitmen negara untuk terus menyumbang ke arah keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau dan antarabangsa.