eCOSS: Aduan Sorok Stok Minyak Masak Peket Turun 66.15 Peratus – Fuziah

KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Aduan berkaitan kegiatan menyembunyikan stok minyak masak peket bersubsidi yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menurun 66.15 peratus berikutan pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dan Mobile eCOSS.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata data perbandingan antara Januari hingga April tahun lepas dengan tempoh sama tahun ini menunjukkan trend penurunan positif bagi keseluruhan aduan berkaitan bekalan barangan kawalan itu.

Selain isu sorok stok yang mencatatkan penurunan tertinggi, aduan berhubung masalah tiada atau kurang bekalan turut berkurangan sebanyak 24.47 peratus manakala aduan mengenai penjualan bersyarat serta keengganan peruncit menjual masing-masing menurun 6.19 peratus dan 1.15 peratus.

“Saya tertarik membaca perkongsian seorang pengguna mengenai bekalan minyak masak peket bersubsidi. Katanya, kalau dahulu memang susah hendak mendapatkan minyak masak ini, sekarang pergi ke mana-mana pun, insya-Allah stok lebih mudah ditemui. Inilah reformasi yang kami mahu rakyat rasai.

“Bagi saya, ukuran kejayaan sesuatu dasar bukan sekadar pada sistem atau angka tetapi apabila rakyat sendiri mula merasakan bekalan lebih mudah diperoleh,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook beliau hari ini.

Fuziah berkata pelaksanaan sistem berkenaan membolehkan KPDN memantau pengedaran minyak masak peket bersubsidi secara menyeluruh, daripada rantaian bekalan hingga ke tangan pengguna.

Beliau berkata aplikasi Mobile eCOSS turut menggunakan teknologi eKYC dan MyDigital ID bagi mengesahkan identiti pengguna, memandangkan pembelian minyak masak peket bersubsidi kini dihadkan kepada warganegara Malaysia bermula 1 Mac lepas.

Sehingga 3 Julai, lebih 5.2 juta rakyat Malaysia dilaporkan telah berdaftar menggunakan aplikasi Mobile eCOSS.

Fuziah menerusi hantaran sama turut berkongsi maklum balas berkenaan aplikasi eCOSS diterima daripada warganet menerusi akaun Norza Syajheha Zamri, yang menyifatkan aplikasi itu memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan minyak masak peket bersubsidi berbanding sebelum ini.