KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan tidak mengisytiharkan harta termasuk wang tunai RM14.7 juta dan jutaan wang tunai pelbagai mata wang asing serta lima ketul jongkong emas, tahun lepas.
Ismail Sabri, 66, yang juga Ahli Parlimen Bera mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, Ismail Sabri didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] bertarikh 7 Jan 2025.
Notis itu telah dihantar kepada Ismail Sabri oleh seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 10 Jan 2025, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta seperti yang dinyatakan.
Harta itu melibatkan wang tunai RM14,772,150, SGD6,132,350, USD1,461,400, CHF3,000,000, EUR12,164,150, JPY363,000,000, GBP50,250, NZD44,600, AED34,750,000 dan AUD352,850 serta lima ketul jongkong emas Petak Suisse Fine Gold seberat 1 kilogram setiap satu selain seketul jongkong perak Petak Suisse Fine Silver seberat 100 gram dan sekeping syiling emas 999 Fine Gold seberat 5 gram.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, No 2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 7 Feb 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan manakala Ismail Sabri diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad.
Bekas perdana menteri itu sepatutnya didakwa di mahkamah pada 7 Ogos, namun prosiding ditangguhkan ke hari ini selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.
Suzana menangguhkan pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan hari ini selepas Amer Hamzah memohon penangguhan berikutan Ismail Sabri mengalami kemungkinan degupan jantung tidak sekata (possible arrhythmia) dan dijadualkan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker procedure).
Suzana membenarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga tertuduh dan menetapkan 29 Sept ini untuk sebutan semula kes.
Bagaimanapun, hakim itu tidak membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya pasport Ismail Sabri diserahkan kepada mahkamah kerana tiada bukti menunjukkan beliau berisiko melarikan diri.
Terdahulu, Farah Ezlin berkata di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM kesalahan itu tidak boleh dijamin (non-bailable offence), namun pihak pendakwaan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah berhubung jaminan tersebut.
“Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
“Kesalahan ini melibatkan bekas perdana menteri dan jumlah terlibat dalam pertuduhan adalah besar. Beliau mempunyai kemampuan kewangan yang lebih daripada mencukupi untuk menyediakan jumlah (jaminan) itu,” katanya yang memaklumkan jika pasport tidak diserahkan kepada mahkamah, adalah sukar bagi pendakwaan untuk menjejaki keberadaan orang kena tuduh (OKT) dan memastikan beliau hadir pada prosiding mahkamah.
Farah Ezlin berkata bekas perdana menteri itu juga mempunyai jaringan hubungan luas di peringkat antarabangsa dan oleh itu, pendakwaan perlu memastikan bahawa beliau dapat hadir ke mahkamah dan memastikan prosiding kes berjalan lancar.
Sementara itu, Amer Hamzah berhujah jumlah jaminan yang diputuskan mahkamah mestilah tidak bersifat menghukum dan tidak boleh berlebihan kerana anak guamnya tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.
Katanya, sebelum pertuduhan dikemukakan di hadapan mahkamah hari ini, terdapat permohonan dibuat oleh pihak pendakwaan di bawah Seksyen 41 Akta SPRM berhubung prosiding melucutkan hak harta milik Ismail Sabri.
“Saya percaya pihak pendakwaan mengambil maklum mengenai perkara itu dan prosiding itu didengar di hadapan hakim sama (Suzana). Satu pengisytiharan telah dibuat bahawa tiada pendakwaan akan dijalankan ke atas anak guam.
“Keadaan ini menimbulkan situasi luar biasa dan unik. Perkara ini dibangkitkan bagi memberi makluman kepada pihak pendakwaan serta mahkamah bahawa kami akan meneliti pertuduhan berkenaan dengan teliti dan tetap berhak mencabar kewajaran serta kesahihannya,” katanya.
Berhubung jumlah jaminan dicadangkan pendakwaan, Amer Hamzah berkata semasa kali pertama pertuduhan didaftarkan di mahkamah, pihak pembelaan telah berbincang dengan pendakwaan bahawa jumlah ikat jamin yang dicadangkan ialah RM100,000.
“Namun, mengapa secara tiba-tiba pada pagi ini jumlah tersebut berubah daripada RM100,000 kepada RM500,000? Tiada justifikasi diberikan mengapa RM500,000 merupakan jumlah yang sesuai,” katanya.
Peguam Ragunath Kesavan yang turut mewakili Ismail Sabri berkata tiada risiko untuk anak guamnya melarikan diri kerana beliau telah memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan sejak 2025 dan tiada keperluan untuk beliau menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Farah Ezlin menegaskan dalam kes ini, pendakwaan dibuat terhadap individu manakala prosiding pelucuthakan dibuat terhadap harta dan ia berbeza.
“Tidak ada bad faith dalam kes ini…berhubung jaminan dicadangkan pendakwaan, ia adalah munasabah,” katanya.
Pada 1 Okt 2025, Suzana memerintahkan wang tunai lebih RM169 juta milik Ismail Sabri dilucut hak kepada kerajaan selepas pendakwaan memaklumkan bahawa tiada pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk menuntut harta tersebut dan Ismail Sabri serta bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan itu.
Pada 7 Julai 2025, SPRM memfailkan permohonan di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta milik Ismail Sabri yang disita daripada Mohammad Anuar kepada Kerajaan Malaysia.
Pada prosiding hari ini, Farah Ezlin dibantu Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin dan Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala pihak pembelaan turut dibarisi peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam dan Joshua Tay sementara peguam pemerhati Aizat Izuan Shakeel hadir bagi pihak Pemuda UMNO.
Prosiding turut dihadiri isteri Ismail Sabri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, anaknya Gadaffi, bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.
Ismail Sabri selesai membayar jaminan RM300,000 dan beredar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 11.43 pagi sambil menyantuni penyokongnya yang menunggu di pekarangan mahkamah.
Seorang wartawan menyapa Ismail Sabri dengan bertanyakan khabar beliau dan bekas perdana menteri itu menjawab: “Sihat”.
Amer Hamzah ketika ditemui pemberita berkata anak guamnya dijadualkan untuk pemeriksaan susulan yang seterusnya di IJN.

















Tinggalkan Balasan