PRN Melaka: PH Kekal Terbuka Berunding, Sedia Bergerak Solo – Amirudin

GOMBAK, 30 Ogos — Pakatan Harapan (PH) sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk bertanding secara bersendirian sekiranya rundingan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), tidak mencapai kata sepakat.

Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari berkata bagaimanapun, ruang secukupnya perlu diberikan kepada kepimpinan parti untuk menilai pilihan strategik terbaik, sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Masih ada masa, kita tunggu keadaan. Saya bukan dalam kedudukan untuk membuat keputusan…Jadi saya diminta untuk berbincang, mari kita bincang. Tapi kalau tidak ada orang untuk berbincang, macam mana? Kita teruskan sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Aspirasi Nasional bersama-sama Anak Muda (NANBA) Peringkat Zon Tengah Siri 2/2026, di sini hari ini.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Adam Adli Abdul Halim, sebelum ini yang membayangkan kemungkinan PH bertanding secara bersendirian sekiranya rundingan kerjasama dengan BN tidak mencapai persetujuan.

Beliau berkata landskap politik negara ketika ini kekal dinamik dan fleksibel, sekali gus memberi ruang kepada setiap parti untuk menentukan pendekatan masing-masing dalam menghadapi pilihan raya.

“Sebagai parti politik, pilihan raya adalah main business kita dan kita akan sertai dalam pelbagai kaedah yang boleh difikirkan.

“Keadaan sekarang agak ‘mencair’ dan masing-masing boleh menentukan cara tersendiri untuk mendapat sokongan rakyat,” katanya.