Trump Calonkan Hung Cao Sebagai Setiausaha Tetap Tentera Laut AS

WASHINGTON, 2 Sept — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mencalonkan Hung Cao sebagai Setiausaha Tentera Laut AS secara tetap selepas beliau memangku jawatan itu sejak April, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Trump mengumumkan pencalonan itu menerusi platform Truth Social pada Selasa, sambil berkata beliau tidak dapat memikirkan individu lain yang lebih sesuai untuk jawatan berkenaan.

Pelantikan Cao masih perlu mendapat pengesahan Senat.

Cao, bekas timbalan setiausaha mengambil alih sebagai pemangku Setiausaha Tentera Laut pada lewat April selepas John Phelan melepaskan jawatan itu. Jabatan Pertahanan ketika itu tidak memberikan sebarang alasan.

The New York Times melaporkan bahawa ketegangan berlarutan selama beberapa bulan antara Phelan dengan dua pegawai atasannya, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth dan Timbalan Setiausaha Pertahanan Stephen Feinberg.

Pada Isnin, terdapat laporan bahawa Setiausaha Tentera Darat Daniel Driscoll turut mengemukakan peletakan jawatan.

Beliau berkata menerusi X bahawa Rabu akan menjadi hari terakhirnya memegang jawatan itu.

Pertikaian dengan Hegseth turut dikatakan antara faktor yang menyumbang kepada perletakan jawatan beliau.

Trump menggesa Senat supaya mengesahkan pelantikan Cao dengan kadar  segera.

Pilihan raya Kongres dijadual berlangsung kira-kira dua bulan lagi, dengan Parti Republikan berusaha mempertahankan majoriti tipis mereka di Senat.