Sesi Tayangan Filem “Reel China” Berlangsung Di Mesir

KAHERAH, 3 Sept — Sesi tayangan filem “Reel China” di Mesir dilancarkan dalam satu majlis yang berlangsung di sini, pada 1 Sept bersempena lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara itu.

Sesi tayangan yang dianjurkan Kumpulan Media China (CMG) itu berlangsung selama tiga hari, dengan sokongan Pentadbiran Filem China dan Suruhanjaya Filem Mesir.

Sebanyak lima filem China iaitu Pegasus 3, Dear You, Shenzhou 13, Boonie Bears: The Hidden Protector, dan Happiness Railway ditayangkan di beberapa pawagam di Kaherah, sekali gus mengetengahkan perkembangan industri perfileman China serta keunikan budayanya kepada penonton tempatan.

Pengarah Urusan Suruhanjaya Filem Mesir, Ahmed Badawi berkata bahawa China memiliki antara pasaran filem yang paling dinamik di dunia dan mencapai prestasi yang memberangsangkan dalam bidang penghasilan filem, penggunaan teknologi, animasi, dokumentari serta filem pelbagai genre.

Beliau berkata program itu bukan sahaja memberi peluang kepada lebih ramai penonton Mesir mengenali filem China dengan lebih dekat, malah membuka ruang kepada industri perfileman kedua-dua negara untuk meningkatkan interaksi dan kerjasama secara lebih langsung serta praktikal.

Sejak dilancarkan pada Mei tahun ini, “Reel China” telah dianjurkan di beberapa negara yang terlibat dalam inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) termasuk Afrika Selatan, Kenya dan Kyrgyzstan.