China mempunyai peluang besar untuk membantu memperluas kerjasama antara organisasi media di Asia Pasifik, termasuk menyediakan lebih banyak ruang pertemuan, perbincangan dan pertukaran pengalaman antara pengamal media di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata hubungan yang terjalin antara organisasi media Malaysia dan China ketika ini menunjukkan kerjasama rentas negara boleh dimanfaatkan untuk memperluaskan jaringan serta perkongsian pengalaman.
“Bernama telah menjalin hubungan yang baik dengan beberapa organisasi media utama China termasuk Xinhua, China Media Group (CMG) dan China Global Television Network (CGTN) termasuk menerusi kerjasama dalam penerbitan dokumentari dan penyiaran.
“Pada masa sama, kami terus berhubung dan berbincang untuk meneroka lebih banyak bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan bersama pada masa hadapan,” kata Datin Paduka Nur-ul Afida kepada CGTN Malay selepas menghadiri Subforum Zhuhai sempena Forum Media Asia-Pasifik yang berlangsung di Zhuhai, Guangdong pada Khamis.
Beliau juga berpandangan kerjasama antara organisasi media di Asia Pasifik perlu terus diperluas dan diperkasa bagi membolehkan setiap pihak memahami perkembangan masing-masing serta berkongsi pengalaman yang boleh dimanfaatkan secara bersama.
“Forum media serantau merupakan antara platform yang dapat membuka lebih banyak ruang kepada organisasi media untuk bertemu, berbincang dan memahami perkembangan antara satu sama lain,” katanya.
Pada masa yang sama, Datin Paduka Nur-ul Afida berkata kerjasama seumpama itu juga berupaya memperkasa bakat golongan muda khususnya dalam bidang media dengan membuka lebih banyak peluang kepada mereka untuk terlibat secara langsung dalam program dan aktiviti yang membolehkan golongan itu membina jaringan dan bertukar pandangan.
Beliau berkata golongan muda perlu diberi lebih banyak ruang untuk terlibat secara langsung, menyuarakan pandangan dan bertukar idea menerusi program yang dapat membina hubungan serta memberi manfaat kepada mereka secara menyeluruh.













Tinggalkan Balasan