KUALA LUMPUR, 4 Sept — Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia akan menganjurkan Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: “Arkitek Pembangunan Negara Bangsa” pada 8 Sept ini di Memorial Tun Abdul Razak, Jalan Perdana di sini.
KPN dalam kenyataan memaklumkan program berkenaan merupakan usaha berterusan kementerian setiap tahun untuk mengangkat dan menghayati legasi serta sumbangan negarawan, selain menjadi antara pengisian sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kementerian menonjolkan peranan, sumbangan dan jasa Tun Abdul Razak sebagai negarawan yang telah meletakkan asas kukuh pembangunan negara, perpaduan rakyat dan pembinaan negara bangsa,” menurut kenyataan itu yang turut memaklumkan program berkenaan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata generasi muda perlu mengenali sejarah dan memahami legasi untuk melangkah sebagai sebuah negara bangsa.
“Sejarah bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dihayati dan dijadikan pedoman. Legasi para negarawan terdahulu bukan sekadar tinggalan masa lalu, tetapi merupakan living legacy yang terus hidup melalui nilai, pemikiran dan perjuangan yang diwariskan kepada kita,” katanya.
KPN memaklumkan pelbagai program diadakan antaranya penampilan sesi pengisahan oleh anakanda Tun Abdul Razak, Datuk Seri Mohamed Nizam serta Sesi Bicara Negarawan yang melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak.
KPN menjemput orang ramai untuk hadir memeriahkan program berkenaan yang diharap dapat menjadi ruang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk mengenali sejarah, menghayati perjuangan serta menelusuri legasi Tun Abdul Razak dalam pembangunan negara bangsa.
















Tinggalkan Balasan