Sampel DNA Waris Rakyat Malaysia Hilang Di Nepal Selesai Diperoleh – Mohamad

SEREMBAN, 5 Sept — Kesemua sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris terdekat 55 rakyat Malaysia yang masih gagal dikesan susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal selesai diperoleh, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata sampel tersebut akan dihantar ke Nepal bagi membolehkan proses padanan DNA dilakukan oleh pihak berkuasa negara itu, namun dijangka mengambil masa berikutan jumlah mangsa yang ramai.

Mohamad berkata Malaysia juga bersedia menghantar pakar daripada Jabatan Kimia sekiranya diperlukan bagi membantu pihak berkuasa Nepal mengenal pasti padanan DNA tersebut.

“Banyak negara lain juga akan menghantar pakar masing-masing untuk membantu Nepal mengenal pasti padanan DNA mangsa terlibat, sekali gus mempercepat proses tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Kemerdekaan Pinggiran Senawang di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Nepal memberikan kerjasama amat baik kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai rakyat Malaysia yang terjejas.

Mohamad berkata pihaknya menerima laporan harian daripada Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu mengenai perkembangan operasi pencarian dan keadaan semasa di lapangan selain semua waris yang terlibat juga dihubungi secara berkala sekiranya terdapat perkembangan baharu.

Sementara itu, beliau memaklumkan Nepal mengehadkan kemasukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari negara luar kerana mahu mengelakkan kehadiran terlalu banyak pasukan asing sehingga boleh menyukarkan pihak berkuasa tempatan mengendalikan operasi.

Pagi tadi, sebanyak 11 anggota dan pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Nepal bagi membantu operasi SAR di kawasan terjejas banjir dan tanah runtuh di negara itu dengan misi dijangka berlangsung selama 10 hari.

Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana pada 26 Ogos lepas, manakala sebahagian daripada 77 individu yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal telah selamat tiba di Malaysia dan bakinya dijangka pulang menggunakan penerbangan diuruskan ejen pelancongan masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow pada Isnin ini di ibu negara bagi membincangkan usaha mempertingkatkan keselamatan di Selatan Thailand selain isu bilateral antara kedua-dua negara.

Beliau berkata Malaysia diberi penghormatan oleh Thailand untuk menjadi fasilitator dalam rundingan dengan pihak berkaitan bagi memastikan keamanan di wilayah berkenaan dapat dicapai.

Mohamad berkata pertemuan itu akan turut membincangkan kaedah terbaik bagi memastikan usaha mencapai keselamatan dan keamanan di Selatan Thailand dapat diterjemahkan serta dilaksanakan.

Beliau berkata keamanan di wilayah berkenaan akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara, khususnya dari segi perdagangan sempadan Malaysia-Thailand yang mempunyai nilai besar.

Sementara itu, Mohamad turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berhasrat berkunjung ke Thailand supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan.