DAR ES SALAAM, 6 Sept — Tanzania pada Sabtu menyerahkan 52 tan ubat-ubatan dan bekalan perubatan bernilai 220 juta syiling Tanzania (kira-kira US$88,000) kepada Republik Demokratik Congo (DRC) bagi menyokong usaha membendung wabak Ebola, lapor Xinhua.
Bekalan itu diserahkan di Kinshasa oleh Timbalan Menteri Kesihatan Tanzania Florence Samizi bagi pihak kerajaan.
Bantuan berkenaan merangkumi ubat-ubatan, peralatan perlindungan untuk petugas kesihatan, peralatan perubatan serta bekalan lain bagi memperkukuh penjagaan pesakit dan memutuskan rantaian penularan Ebola.
Berucap pada majlis penyerahan itu, Samizi berkata bantuan berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen Tanzania yang dibuat menerusi pelbagai platform kesihatan, termasuk mesyuarat maya ketua negara dan kerajaan pada 16 Jun mengenai usaha menangani Ebola.
Beliau menegaskan semula komitmen Tanzania untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani kecemasan kesihatan yang merentasi sempadan negara.
Romain Muboyayi, pegawai kanan Kementerian Kesihatan DRC, merakamkan penghargaan kepada Tanzania atas bantuan itu sambil berkata bekalan berkenaan akan menyokong usaha kerajaan DRC membendung wabak Ebola dan melindungi petugas kesihatan yang berkhidmat untuk komuniti terjejas.
Setakat awal September 2026, DRC merekodkan lebih 6,300 kes Ebola yang disahkan dan lebih 3,000 kematian berkaitan dalam wabak paling buruk pernah direkodkan di negara itu.












Tinggalkan Balasan