PUTRAJAYA, 6 Sept — Sebanyak 31 penerbangan ke Jakarta dibatalkan di semua lapangan terbang seluruh negara hari ini susulan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta berikutan abu vulkanik yang terhasil daripada letusan Gunung Anak Krakatau.
Menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), pembatalan yang dilaporkan syarikat penerbangan setakat tengah hari ini, melibatkan penerbangan yang dijadualkan antara 6.45 pagi hingga 11.55 malam.
Pengendali lapangan terbang itu menjelaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatat bilangan pembatalan tertinggi dengan 21 penerbangan meliputi 15 di Terminal 1 dan enam di Terminal 2.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang merekodkan enam pembatalan, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching mencatat satu pembatalan, Lapangan Terbang Subang dua dan Lapangan Terbang Kota Bharu dengan satu pembatalan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Gunung Anak Krakatau, yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera, terus meletus sehingga Sabtu, dengan pihak berkuasa melaporkan aktiviti pancutan lava dan bunyi dentuman dan gemuruh yang boleh didengar dari sebuah pos pemerhatian.
Letusan itu bermula pada 11.07 malam waktu tempatan pada Jumaat dan berterusan sepanjang pemerhatian dari tengah malam hingga 6 pagi semalam.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia melaporkan adh gunung berapi dikenal pasti setinggi 6,000 meter di bahagian Jawa gunung berapa itu manakala kepulan sehingga 15,000 meter di bahagian Sumatera dan beberapa bahagian wilayah Banten di Jawa.
Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta telah digantung sehingga 1.30 tengah hari, waktu tempatan hari ini (2.30 petang, waktu Malaysia).
Terdahulu, akaun media sosial rasmi KLIA mengeluarkan nasihat perjalanan yang menggesa penumpang menuju ke Jakarta menerusi penerbangan yang terjejas supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk maklumat jadual terkini.
KLIA memaklumkan kawasan rehat telah disediakan untuk penumpang yang terjejas menunggu berita selanjutnya.

















Tinggalkan Balasan