Aktiviti Komuniti Perkukuh Perpaduan Dalam Kalangan Rakyat

KUANTAN, 6 Sept — Pelaksanaan pelbagai aktiviti komuniti bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat untuk berkumpul malah mampu memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara R Yuneswaran.

Beliau berkata kekuatan sesebuah komuniti juga terletak pada kerjasama erat antara rakyat, agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat dalam memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat kepada penduduk.

“Program seperti ini bukan sahaja (membolehkan) kita datang berkumpul tetapi saya melihat aktiviti komuniti kita melibatkan (golongan) daripada kanak-kanak sehinggalah orang dewasa. 

“Inilah kehebatan bagaimana agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat memberi keutamaan kepada kemakmuran rakyat,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Merdeka MADANI Inderapura 2026 di sini hari ini. 

Yuneswaran juga berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan geran tahunan bagi Kawasan Rukun Tetangga yang dinaikkan kepada RM10,000 tahun depan berbanding RM6,000 sebelum ini mencerminkan kepentingan peranan KRT dalam membantu masyarakat.  

“Ini menunjukkan pemimpin utama negara kita turut mengambil kira dan melihat betapa penting peranan KRT dalam komuniti masyarakat kita… oleh itu,  Ahli Jawatankuasa KRT yang berada di sini hendaklah memikul tanggungjawab bersama-sama supaya menjadi mata dan telinga kerajaan untuk membantu masyarakat,” katanya. 

Beliau berkata selain itu, semangat saling membantu dan bersatu padu dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum serta agama perlu terus dipelihara sebagai identiti Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Yuneswaran menyeru masyarakat supaya terus menjaga keharmonian dan perpaduan yang telah lama terbina serta tidak membiarkan sebarang anasir memecah-belahkan rakyat.

Terdahulu, beliau merasmikan gelanggang futsal dan meluangkan masa melawat Kolam Komuniti Anak Ikan Patin yang diusahakan penduduk setempat. 

Program dua hari bermula semalam itu menghimpunkan lebih 1,000 penduduk setempat dan sekitar yang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti antaranya Fun Run, basikal berhias, aktiviti mewarna serta lorong Merdeka.