KUALA LUMPUR, 9 Sept — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini kembali menghadiri Mesyuarat Jemaah Menteri selepas menjalani pembedahan pintasan jantung dan berehat sepanjang tempoh cuti sakit.
Fadillah menerusi hantaran di Facebook berkata bagaimanapun atas nasihat pakar di Institut Jantung Negara (IJN), beliau akan meneruskan cuti sakit sehingga 27 Sept ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh rakan-rakan Jemaah Menteri atas keprihatinan, doa dan sokongan yang diberikan sepanjang saya menerima rawatan.
“Saya amat bersyukur dan gembira dapat kembali bersama rakan-rakan Kabinet dalam mesyuarat pada hari ini,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata sepanjang tempoh cuti sakit berkenaan beliau hanya akan menghadiri Mesyuarat Jemaah Menteri secara fizikal.
“Semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik, dilimpahi kesejahteraan berpanjangan dan dapat melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin,” katanya.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN pada 12 Ogos lepas selepas dimasukkan ke institut berkenaan pada 28 Julai lepas dan menjalani angiogram koronari pada keesokannya.
















Tinggalkan Balasan