Stolport Long Lellang Ditutup Sementara, Penerbangan AirBorneo Dijadualkan Semula

KUCHING, 9 Sept — Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang ditutup sementara untuk operasi komersial susulan nahas helikopter berhampiran lapangan terbang itu semalam.

AirBorneo Airways Sdn Bhd (AirBorneo) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan itu menyebabkan dua penerbangan hari ini dijadualkan semula ke Jumaat.

Penerbangan yang terjejas ialah MY3602 dari Miri ke Long Lellang dan MY3603 dari Long Lellang ke Miri.

“Kami amat menghargai kesabaran, pemahaman dan kerjasama anda sementara pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan yang diperlukan,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran STOLport Long Lellang.

Menurut kenyataan CAAM pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang.