PUTRAJAYA, 9 Sept — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 325 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan di sebuah kawasan pangsapuri di sini, awal pagi tadi.
JIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi dilakukan susulan aduan dan maklumat awam berhubung kehadiran warga asing yang tinggi di lokasi berkenaan.
“Operasi yang melibatkan 127 pegawai JIM Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara itu dilaksanakan hasil risikan serta pemantauan berdasarkan maklumat diterima,” menurut kenyataan itu, hari ini.
JIM memaklumkan sebanyak 740 warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan dengan 325 daripadanya ditahan, terdiri daripada 270 lelaki dan 55 perempuan berusia antara 18 hingga 56 tahun merangkumi warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India, Nepal dan Thailand.
Antara kesalahan dikenal pasti adalah tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas serta kesalahan lain di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan-peraturan berkaitan.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.
Menurut kenyataan itu, JIM akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi membanteras pendatang asing serta penyalahgunaan pas dan kemudahan imigresen.
JIM turut mengingatkan majikan dan pemilik premis supaya memastikan setiap warga asing yang digaji mempunyai dokumen serta pas yang sah dan mematuhi syarat ditetapkan.
“Tindakan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menggaji, melindungi atau membantu warga asing yang melakukan kesalahan imigresen.
“Orang ramai juga digalakkan menjadi rakan strategik JIM dengan menyalurkan maklumat lengkap melalui saluran rasmi jabatan sekiranya mengesyaki kewujudan pendatang asing atau sebarang pelanggaran undang-undang imigresen,” menurut kenyataan itu.

















Tinggalkan Balasan