KUALA LUMPUR, 10 Sept — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Istana Negara.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda berkenan dipersembahkan mengenai perkembangan semasa Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU).
Dalam hantaran berasingan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima mengadap Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus di Istana Negara.
Sementara itu, Zambry dalam hantaran di Facebook berkata Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di BFSU mencerminkan keprihatinan dan naungan Seri Paduka Baginda terhadap usaha memperluas pengajian serta memperkukuh kedudukan bahasa, budaya dan peradaban Melayu di persada antarabangsa.
“Semoga segala nasihat dan pandangan Seri Paduka Baginda menjadi pedoman dalam memperkasakan lagi bidang Pengajian Melayu serta memperluas jaringan ilmu antara Malaysia dengan dunia.
“Daulat Tuanku,“ katanya.

















Tinggalkan Balasan