JAKARTA, 10 Sept — Tiga helikopter CH-47 Chinook Jepun akan membantu usaha Indonesia memerangi kebakaran hutan dan tanah selama 21 hari, ketika pihak berkuasa mempergiatkan operasi di Sumatera dan Kalimantan.
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Badan Pengurusan Bencana Negara (BNPB) Berton Panjaitan berkata pesawat itu tiba di kapal pendaratan JS Kunisaki di Pelabuhan Kijing di Kalimantan Barat pada Khamis, dengan operasi pengeboman air dijangka bermula pada Jumaat atau Sabtu.
“Misi itu dijadualkan berlangsung selama 21 hari untuk membantu pasukan pemadam kebakaran di lapangan. Penerbangan ujian sedang dijalankan di Lapangan Terbang Supadio di Pontianak,” katanya pada sidang media dalam talian pada Khamis.
Berton berkata antara 180 dan 300 kakitangan Jepun terlibat dalam operasi itu, dengan persiapan sedang dijalankan sebelum helikopter dikerahkan ke kawasan kebakaran keutamaan.
Bantuan Jepun itu akan memperkukuh operasi memadam kebakaran di enam wilayah keutamaan iaitu Sumatera Selatan, Riau, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan dengan Kalimantan Barat dan Sumatera Selatan masih mencatatkan kawasan kebakaran yang agak luas.
Beliau berkata lebih 421 hektar kawasan tanah terbakar telah dipadamkan pada Rabu, dengan 43,951 anggota Indonesia dikerahkan dalam operasi darat, disokong 17 pesawat peronda udara dan 38 pesawat pengebom air.
Berton berkata operasi tetap tertumpu pada kawasan kebakaran aktif, terutamanya di tanah gambut yang berbara di bawah permukaan, serta kawasan berhampiran lapangan terbang dan penempatan iaitu lokasi yang berisiko tinggi untuk api merebak, selain tempat yang mempunyai sumber air terhad.
Sementara itu, pegawai Kementerian Kesihatan Widyawati berkata 113,336 kes kumulatif jangkitan pernafasan akut telah dilaporkan di tujuh wilayah yang dilanda kebakaran setakat Rabu, termasuk 4,080 kes direkodkan hari yang sama.
Beliau berkata 26,545 daripada kes terkumpul melibatkan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah, dengan pihak berkuasa kesihatan turut memantau keadaan berkaitan asap termasuk radang paru-paru, asma dan kerengsaan mata dan kulit.
Widyawati berkata pencemaran udara kekal teruk di Kalimantan dengan beberapa kawasan mencapai kategori tertinggi indeks pencemaran udara Indonesia manakala kementerian telah mengedarkan lebih 980,000 topeng di seluruh kawasan terjejas.













Tinggalkan Balasan