Putin, Modi Bertemu Di New Delhi Menjelang Sidang Kemuncak Brics

ISTANBUL, 11 Sept — Presiden Rusia Vladimir Putin pada Jumaat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India Narendra Modi di New Delhi menjelang Sidang Kemuncak BRICS yang bermula Sabtu di ibu negara India itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kremlin mengesahkan pertemuan itu dan memaklumkan perbincangan berkenaan diadakan di pusat konvensyen Bharat Mandapam.

Tiada butiran diberikan mengenai hasil perbincangan itu atau perkara yang dibincangkan.

Putin tiba di India pada awal Jumaat untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-18 yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad.

Menurut pembantu Presiden Rusia Yury Ushakov pada Khamis, perbualan tidak rasmi antara Putin dan Modi “amat berharga”.

“Kami amat menghargai hubungan yang terjalin antara kedua-dua pemimpin,” katanya.

Ushakov berkata Putin turut akan mengadakan beberapa pertemuan lain di luar sidang kemuncak itu, termasuk dengan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed.