JAKARTA, 11 Sept — Wartawan di seluruh Indonesia berhimpun dalam doa pada Jumaat bagi lima rakan media dan tiga kru bot yang masih hilang selepas berlepas untuk membuat liputan mengenai letusan Gunung Anak Krakatau awal minggu ini.
Majlis doa diadakan di beberapa bandar termasuk Jakarta, Banda Aceh, Surabaya dan Bogor, dengan para wartawan melahirkan harapan agar kesemua lapan individu itu ditemukan dalam keadaan selamat.
Pengerusi Pewarta Foto Indonesia (PFI) Dwi Pambudo berkata ratusan wartawan dan penggiat media menghadiri majlis doa di Jakarta Pusat manakala majlis serupa turut diadakan serentak oleh cawangan PFI di seluruh negara.
“Semoga segala usaha yang dilakukan pasukan pencari, bersama doa semua pihak, membawa khabar sebaik-baiknya,” katanya dalam satu kenyataan.
Lima wartawan berkenaan ialah Muhammad Bagus Khoirunnas dari agensi berita nasional Indonesia Antara, Firdaus Wajidi dari Anadolu Ajansi Turkiye, Arie Basuki dari portal berita Merdeka.com, Yudistiro Pranoto dari iNews dan wartawan bebas Donal Husni.
Mereka ditemani tiga kru bot ketika bertolak dari Jeti Pagedongan di Carita, Banten menaiki bot laju kira-kira pukul 2 petang Isnin untuk membuat liputan aktiviti gunung berapi Anak Krakatau di Selat Sunda. Komunikasi terakhir direkodkan pada 2.42 petang sebelum hubungan terputus pada hari yang sama.
Di Surabaya, PFI dan Ikatan Jurnalis Televisi Indonesia (IJTI) mengadakan majlis doa bersama wartawan tempatan, manakala majlis serupa yang melibatkan beberapa organisasi media turut diadakan di Bogor, Jawa Barat dan Banda Aceh.
Sokongan turut disuarakan dari luar Indonesia apabila Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata agensi itu berdiri teguh bersama lima wartawan berkenaan dan amat prihatin dengan kejadian itu.
Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Malaysia Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata komuniti media Malaysia turut berkongsi kebimbangan rakan wartawan Indonesia dan berharap lima wartawan serta tiga kru bot itu ditemukan dalam keadaan selamat.
Sementara itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemukan satu lagi jaket keselamatan berwarna jingga pada Jumaat, hari keempat operasi, kira-kira 16.2 batu nautika ke timur Anak Krakatau, menurut Ketua Pejabat SAR Banten Al Amrad.
Komander Pangkalan Tentera Laut Indonesia Banten Leftenan Kolonel Wawan Subagyo Mardani berkata jaket keselamatan itu diserahkan untuk tujuan pengecaman dan masih belum dapat dikaitkan dengan wartawan serta kru bot yang hilang.












Tinggalkan Balasan