BRICS Mainkan Peranan Menonjol Dalam Pembangunan Selatan Global, Kata Ahli Akademik

A cyclist rides past a hoarding featuring India's Prime Minister Narendra Modi, displayed ahead of the BRICS summit in New Delhi on September 9, 2026. (Photo by Sajjad HUSSAIN / AFP)

JOHANNESBURG, 11 Sept — BRICS memainkan peranan yang semakin penting dalam mempromosikan pertumbuhan ekonomi global, memajukan kerjasama Selatan-Selatan dan memperkukuh suara negara-negara membangun di tengah-tengah ketidaktentuan dunia, kata seorang ahli  akademik Afrika Selatan, lapor Agensi Berita Xinhua.

Dengan kepentingannya yang kian berkembang dari segi ekonomi, pasaran yang semakin meluas serta kerjasama yang kian mendalam dalam bidang perdagangan, pelaburan, infrastruktur dan teknologi, BRICS berada pada kedudukan baik untuk menyumbang lebih banyak kepada pembangunan Selatan Global dan ekonomi global yang lebih pelbagai, kata Profesor Zamokuhle Mbandlwa dari Durban University of Technology.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual dengan Xinhua baru-baru ini menjelang Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di New Delhi, India.

“Sumbangan BRICS kepada pertumbuhan global adalah signifikan, berstruktur dan semakin strategik,” kata Mbandlwa, yang juga ahli Institut Penyelidikan BRICS, sebuah organisasi penyelidikan Afrika Selatan yang berpangkalan di universiti berkenaan.

Mbandlwa berkata populasi kumpulan itu yang besar dan terus berkembang mewujudkan permintaan tinggi terhadap barangan, perkhidmatan, infrastruktur dan teknologi, sekali gus menjana manfaat lebih luas menerusi perdagangan dan pelaburan.

Di tengah-tengah pertumbuhan global yang perlahan, ketegangan geopolitik, perlindungan perdagangan  yang kian meningkat dan gangguan rantai bekalan, BRICS turut menyediakan platform penting bagi ekonomi membangun untuk mempelbagaikan hubungan ekonomi dan mengukuhkan daya tahan, kata Mbandlwa.

“BRICS boleh menjadi antara enjin utama kepada ekonomi global yang lebih pelbagai dan multipolar, namun potensi ini bergantung kepada kedalaman integrasi ekonomi dan bukannya sekadar saiz kumpulan berkenaan,” katanya.

Perdagangan dan pelaburan yang lebih besar dalam kalangan ahli BRICS, kesalinghubungan infrastruktur, kerjasama teknologi, pembiayaan mata wang tempatan serta sistem pembayaran saling boleh kendali dapat membantu menterjemahkan kepentingan ekonomi kumpulan itu kepada hasil pembangunan yang praktikal, katanya.

Menurut Mbandlwa, perluasan BRICS telah mengukuhkan kepentingan ekonomi kolektifnya dan membuka lebih banyak peluang bagi perdagangan, pelaburan, kerjasama kewangan dan perkongsian ekonomi Selatan-Selatan.

Beliau berkata kekuatan pelbagai ekonomi BRICS dalam bidang tenaga, pertanian, pembuatan dan teknologi menyediakan ruang yang luas bagi saling melengkapi serta rantaian bekalan yang lebih mantap.

“Dalam persekitaran global yang tidak menentu, rantaian bekalan BRICS yang pelbagai dapat menyediakan kestabilan ekonomi dan autonomi strategik yang lebih besar kepada ahlinya, di samping mewujudkan pasaran yang lebih besar dan bersepadu bagi pertumbuhan mampan,” kata Mbandlwa.

Mbandlwa turut menonjolkan peranan China yang “signifikan dan semakin praktikal” dalam memajukan kerjasama ekonomi BRICS.

Kerjasama dengan China dalam pelaburan, infrastruktur digital, tenaga boleh baharu, e-dagang dan kecerdasan buatan (AI) telah membantu ahli BRICS mengukuhkan keupayaan teknologi serta merapatkan jurang pembangunan, katanya.

“Penekanan China terhadap keterbukaan dan pembangunan berkongsi juga menyokong perkongsian inovasi yang lebih inklusif, terutamanya bagi ekonomi memuncul,” kata Mbandlwa.

Merenung ke hadapan, Mbandlwa berkata kepentingan BRICS melangkaui pertumbuhan ekonomi, dengan kumpulan itu menyediakan platform bagi pengaruh ekonomi kolektif, kerjasama Selatan-Selatan dan orde global yang lebih saksama.

BRICS membuktikan bagaimana negara-negara membangun boleh bekerjasama untuk memperluas perdagangan, menggerakkan pelaburan, membina infrastruktur dan mengukuhkan keupayaan teknologi tanpa bergantung sepenuhnya kepada pusat kuasa ekonomi tradisional, katanya.

“Justeru, kerjasama BRICS yang lebih kukuh bukanlah bertujuan mewujudkan blok ekonomi tertutup yang baharu” tetapi mengenai memupuk “ekonomi global yang lebih mewakili semua pihak,” katanya.

Mbandlwa berkata peluang strategik terletak pada peralihan daripada “BRICS sebagai kumpulan ekonomi besar” kepada “BRICS sebagai platform bersepadu bagi pertumbuhan, pelaburan, inovasi dan daya tahan ekonomi Selatan Global.”