Seorang Maut, 13 Cedera Dalam Kejadian Tanah Runtuh Di Aceh Tengah

JAKARTA, 14 Sept — Seorang maut manakala 13 yang lain cedera dalam kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di Aceh Tengah, wilayah Aceh pada Ahad.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata kejadian berlaku kira-kira 6.15 petang waktu tempatan dan menjejaskan tujuh kampung di empat kawasan.

Beliau berkata kawasan yang terjejas ialah Kebayakan, Lut Tawar, Celala dan Silih Nara, manakala runtuhan tanah serta lumpur menghalang beberapa jalan utama, jalan wilayah dan jalan tempatan selain merosakkan kediaman.

“Dua rumah dilaporkan rosak teruk manakala dua lagi mengalami kerosakan sederhana. Beberapa jalan turut terhalang akibat runtuhan tanah sehingga menjejaskan laluan awam,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Isnin.

Berton berkata Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Aceh Tengah sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk membuat penilaian di kawasan terjejas.

Sebuah jentera angkut beroda dan sebuah jengkaut turut dikerahkan bagi membersihkan runtuhan tanah yang menghalang jalan.

Beliau berkata kerja-kerja pembersihan masih diteruskan bagi membuka semula jalan terjejas serta melancarkan pergerakan dan aktiviti penduduk setempat.

Penduduk di Aceh Tengah dan kawasan sekitarnya turut diingatkan supaya terus berwaspada terhadap kemungkinan berlaku tanah runtuh susulan, khususnya ketika hujan lebat atau berpanjangan.

Mereka yang tinggal berhampiran cerun dan tebing pula dinasihatkan berpindah ke kawasan lebih selamat sekiranya mengesan tanda-tanda pergerakan tanah.