China Hadiahkan Sampel Tanah Bahagian Tersembunyi Bulan ke Pejabat Vienna PBB 

Jabatan Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan China (CNSA), Misi Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan antarabangsa lain di Vienna, serta Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB telah mengadakan satu majlis penyerahan di sini Isnin, berhubung China secara rasmi menghadiahkan sebahagian sampel tanah bahagian tersembunyi Bulan kepada PBB.  

Sampel tersebut sebagai kumpulan pertama yang diambil manusia merupakan hasil China dalam pelaksanaan misi “Chang’e-6”.

Pengarah CNSA, Shan Zhongde menyatakan bahawa China konsisten dalam mengamalkan konsep pembangunan baharu yang inovatif, terselaras, hijau, terbuka dan berkongsi, memartabatkan amalan multilateralisme, melindungi autoriti dan peranan Jawatankuasa Penggunaan Angkasa Lepas Secara Damai PBB (COPUOS), dan mendorong pelaksanaan Agenda Pembangunan Lestari 2030 PBB. 

Kesemua ini bertepatan dengan empat inisiatif global yang dikemukakan Presiden China, Xi Jinping. 

“China bersedia untuk berkongsi hasil pembangunan angkasa lepas dengan pelbagai negara, berkongsi peluang dan mencipta kemakmuran bersama, supaya menjadikan hasil teknologi angkasa lepas semakin relevan dengan kepentingan rakyat pelbagai negara, di samping mendorong masyarakat manusia melakukan penerokaan angkasa lepas secara aman, dan memperkasa pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan,” kata Shan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pejabat PBB di Vienna, Juma pula menyatakan bahawa tindakan pihak China mempamerkan sampel tanah bulan secara kekal di Ibu Pejabat PBB di Vienna mempunyai makna yang penting. Ia bukan sahaja mewakili daya cipta teknologi dan keazaman manusia untuk meneroka alam semesta, malah mencerminkan sokongan pihak China terhadap peranan PBB dalam menggerakkan masyarakat antarabangsa menangani cabaran bersama.

Turut hadir, seramai lebih 400 orang tetamu termasuk pegawai pelbagai pertubuhan antarabangsa di Vienna, wakil-wakil tetap pelbagai negara, dan wakil-wakil daripada pelbagai lapisan masyarakat Vienna.