Orang Ramai Dinasihat Tidak Berpusu-pusu Tukar MyKad Baharu 17 Sept Ini

PORT DICKSON, 15 Sept — Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berpusu-pusu ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar MyKad kepada versi baharu apabila permohonan dibuka mulai 17 Sept ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penukaran MyKad baharu dilengkapi kira-kira 50 ciri keselamatan tambahan itu akan dilaksanakan secara berfasa manakala MyKad sedia ada masih sah digunakan untuk urusan harian.

“Cuma saya nak nasihatkan supaya tidak berpusu-pusu segera menggantikan (MyKad). Sekarang ini, jumlah MyKad yang telah dikeluarkan adalah 24 juta, purata pengeluaran MyKad sekarang sebulan ialah 180,000 ke 200,000,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni dan menyampaikan sumbangan tajaan umrah kepada Nurul Arini Abdullah, 19, dan ibunya, Norini Basir, 62, di sini hari. 

Saifuddin Nasution berkata penukaran MyKad baharu tidak akan menjejaskan transaksi baki atau kelayakan subsidi rakyat yang dipautkan pada dokumen pengenalan diri berkenaan.

“Tidak timbul soal transaksi baki subsidi… rekod itu adalah berdasarkan pada MyKad lama,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin Nasution berkata JPN mengendalikan 13,000 hingga 15,000 kes kegagalan mendaftar kelahiran setiap tahun, angka yang disifatkannya masih tinggi walaupun negara telah lama mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata kegagalan mendaftar kelahiran berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk kekangan maklumat, masalah sosial dan isu kekeluargaan yang akhirnya boleh menjejaskan masa depan anak-anak.

“Hakikatnya kita masih ada masalah dalam kalangan masyarakat yang tiada pengetahuan asas bahawa setiap kelahiran itu mesti didaftarkan dan ia masih lagi dianggap benda biasa.

“JPN mengendalikan antara 13,000 hingga 15,000 kes seperti ini yang tidak mendaftar kelahiran setahun. Jumlah ini dianggap tinggi ketika negara sudah lama merdeka,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa ibu bapa, penjaga dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes kegagalan mendaftar kelahiran supaya segera tampil ke pejabat JPN untuk mendapatkan bantuan.

Beliau berkata pelbagai alasan diterima daripada ibu bapa atau penjaga yang gagal mendaftarkan kelahiran anak, termasuk masalah kewangan dan kekangan keluarga, sedangkan pendaftaran kelahiran adalah percuma.