SINTOK, 15 Sept – Dibesarkan dan diasuh nenek berlainan agama sejak bayi selepas ibu bapanya berpisah tidak pernah mematahkan semangat Nur Hazizah Indrasafri untuk mengejar cita-cita sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Utara Malaysia (UUM).
Bagi pelajar berusia 24 tahun itu, kasih sayang dan pengorbanan neneknya Ng King Fong, 72, yang beragama Buddha menjadi antara sumber kekuatan untuk terus berusaha, meskipun perjalanan hidupnya tidak semudah rakan sebaya.
Nur Hazizah berkata bapanya meninggal dunia tahun lepas manakala ibunya yang sering bertukar tempat kerja kerana tuntutan pekerjaan tinggal berasingan, menyebabkan dia banyak bergantung kepada neneknya.
“Sejak kecil saya dibesarkan nenek. Walaupun ibu tidak bersama saya setiap masa, dia tetap berusaha memenuhi keperluan keluarga termasuk saya, dua adik dan nenek,” katanya ketika ditemui pada pendaftaran pelajar baharu UUM sesi 2026/2027 hari ini.
Kini, segala usaha dan pengorbanan itu menjadi pembakar semangat buat Nur Hazizah yang berjaya melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti di UUM.
Nur Hazizah berkata walaupun neneknya beragama Buddha manakala dia beragama Islam, perbezaan itu tidak pernah menjejaskan hubungan mereka, sebaliknya mengajarnya untuk menghormati kepercayaan dan cara hidup orang lain.
“Kalau nenek melakukan apa-apa berkaitan agama, saya tiada masalah dan kalau nenek nampak saya solat di rumah pun begitu juga. Cara makan pula nenek hanya pastikan makanan yang ada di rumah kami adalah halal,” katanya.
Nur Hazizah berkata walaupun ibu dan neneknya tidak dapat hadir menemaninya pada hari pendaftaran, dia tetap bersyukur kerana keluarga seorang rakan hadir memberikan sokongan.
Dalam pada itu, menjelang sambutan Hari Malaysia esok, beliau berharap masyarakat terus menganggap kepelbagaian sebagai kekuatan dan tidak menjadikan perbezaan agama atau bangsa sebagai alasan untuk bermusuh.
Sementara itu, pelajar baharu UUM G. Dhanesh, 22, dari Johor Bahru membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencapai impian melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian.
Dhanesh yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) kehilangan penglihatan pada mata kiri selepas terjatuh daripada basikal ketika berusia sembilan tahun.
“Pada awalnya saya tidak menyangka akan diterima masuk ke UUM, namun bersyukur kerana impian saya untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah tercapai,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UUM Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata universiti itu menerima 4,982 pelajar baharu bagi sesi akademik 2026/2027 yang akan mengikuti 47 program pengajian sarjana muda.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 4,661 adalah pelajar tempatan terdiri daripada lepasan STPM/Setaraf UPU, lepasan Asasi Pengurusan UUM dan pelajar Inbound Mobiliti Tempatan manakala 321 lagi ialah pelajar antarabangsa serta Inbound Mobiliti Antarabangsa.

















Tinggalkan Balasan