New Delhi: Acara Berprestij, Kekal Meriah

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Dua belas tahun lepas, saya bertugas sebagai koresponden berpangkalan di New Delhi, India, sebuah bandar raya yang bergerak mengikut rentak dan keunikan tersendiri.

Persidangan dan sidang kemuncak besar bukanlah sesuatu yang asing di sini.

Sebagai ibu kota politik India, New Delhi menempatkan Istana Presiden, Bangunan Parlimen, dan Mahkamah Agung; justeru, ia turut melibatkan antara langkah keselamatan yang paling ketat dan menyeluruh di negara itu.

Oleh itu, apabila penulis kembali untuk membuat liputan lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18, penulis sudah bersedia dari segi mental menghadapi tahap keselamatan yang dipertingkatkan, lencongan jalan raya, sekatan pergerakan, serta pelbagai lapisan protokol keselamatan.

Lagipun, pada hari-hari biasa sekalipun, halangan jalan, pusat pemeriksaan, dan kesesakan lalu lintas yang kronik merupakan sebahagian daripada kehidupan di Delhi.

Sebarang kemungkinan ancaman keselamatan, walau sekecil mana pun, boleh membawa kepada lapisan sekatan tambahan.

Dengan kehadiran pemimpin, antaranya Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping di bandar itu, dapat dibayangkan betapa tegangnya suasana yang bakal berlaku.

Pengalaman menetap dan bekerja di sini sebelum ini ada kelebihannya, anda belajar cara untuk bergerak, ke mana harus dituju, apa yang perlu dielakkan, dan mungkin yang paling penting, bila masanya untuk tidak mengambil risiko.

Justeru, apabila seorang rakan wartawan mencadangkan supaya kami ke Chandni Chowk untuk membeli-belah sebelum ketibaan Perdana Menteri, saya menolak pelawaan itu dengan sopan dan menjelaskan risiko yang mungkin akan berlaku.

Adakah ia boleh dilakukan? Sudah tentu, pasar jalanan bersejarah yang sibuk sejak abad ke-17 dan dibina oleh Maharaja Mughal Shah Jahan itu terletak hanya 10 kilometer (km) dari tempat penginapan kami di New Delhi.

Namun, apabila ibu kota berada dalam keadaan berjaga-jaga tahap tinggi bagi satu perhimpunan global yang besar, bergerak terlalu jauh dari lokasi tugasan utama bukanlah satu tindakan bijak.

Bagi warga asing, jarak sering dianggap sebagai ukuran utama untuk menentukan masa perjalanan dari satu lokasi ke lokasi lain.

Namun, di Delhi, tanggapan itu tidak boleh diguna pakai.

Jarak hanyalah sebahagian daripada gambaran sebenar; keadaan semasa, aliran trafik, dan yang paling penting, aturan keselamatan turut memainkan peranan besar.

Sepanjang tempoh kami melakukan liputan, terdapat beberapa detik kami tertanya-tanya sama ada sempat tiba tepat pada masanya.

Penutupan jalan, lencongan, dan keadaan lalu lintas yang huru-hara, sinonim dengan bandar raya itu sememangnya tidak membantu kelancaran perjalanan kami.

Jalan dua lorong mempunyai kecenderungan berubah menjadi tiga atau malah empat lorong, dengan kenderaan menyelit masuk ke setiap ruang kosong yang ada.

Walaupun pergerakan para pemimpin diatur dengan teliti dan dilaksanakan dengan lancar, bagaimanapun bagi wartawan yang membuat liputan acara mereka, situasinya jauh berbeza.

Namun, entah bagaimana, kami berjaya tiba tepat pada masanya.

Pada satu ketika lain, selepas majlis pelepasan Perdana Menteri di Pangkalan Tentera Udara (AFS) Palam bagi lawatan kerja beliau seterusnya ke Kerala pada jam 2.15 petang waktu tempatan, pada 13 September, kami menyangka akan dapat kembali ke hotel dalam masa sejam dan mungkin mempunyai sedikit masa untuk berehat sebelum pulang ke tanah air pada keesokan harinya.

Jarak antara AFS dan hotel itu hanya kira-kira 16 km dan biasanya perjalanan itu mengambil masa antara 45 minit hingga sejam.

Perjalanan itu memakan masa lebih tiga jam, sehinggakan kami bergurau bahawa besar kemungkinan pesawat Perdana Menteri akan tiba di bandar pesisir pantai di selatan India itu lebih awal berbanding kami tiba di hotel.

Ternyata, itulah sebenarnya yang berlaku.

Sistem penyaman udara kenderaan kami bergelut untuk menandingi bahang panas Delhi yang terik, dan apabila kami akhirnya tiba di hotel selepas hampir lima jam, kami terlalu keletihan untuk memikirkan masa bersantai.

Sebagai koresponden sebelum ini dan sebagai wartawan yang kembali membuat liputan Sidang Kemuncak berkenaan sekarang, itulah antara daya tarikannya.

Bandar ini sentiasa berupaya mengubah perancangan yang rapi menjadi kucar-kacir apabila berdepan dengan realiti hidup harian yang penuh kejutan, tidak kira sama ada berlangsungnya acara besar atau tidak.

Sidang kemuncak seperti BRICS sepatutnya berkisar mengenai strategi besar, trend geopolitik, perdagangan, keselamatan, perubahan imbangan kuasa, dan masa depan dunia yang semakin bersifat multipolar.

Para pemimpin tiba dengan dikelilingi pelbagai lapisan protokol dan kawalan keselamatan, bergerak melalui ruang yang diatur rapi untuk mencerminkan imej ketertiban, kewibawaan dan kawalan.

Inilah Delhi, sebuah bandar raya dengan populasi lebih 23 juta penduduk yang enggan tunduk sepenuhnya kepada sebarang aturan ditetapkan.

Perbezaan itu terasa bagaikan sebuah puisi.

Di dalam bilik persidangan, para pemimpin membincangkan kuasa-kuasa yang membentuk semula landskap global.

Di luar, jutaan penduduk Delhi pergi bekerja, pulang ke rumah, menaiki kereta api atau mengharungi jalan raya yang tiba-tiba ditutup akibat laluan konvoi kenamaan.

Itulah wajah sebenar kota ini di sebalik sidang kemuncak tersebut.

Dan mungkin itulah sebabnya kunjungan semula penulis selepas 12 tahun membawa seribu satu makna yang tersingkap.

Ciri-ciri asas New Delhi masih kekal kukuh dan tidak banyak berubah.

Ia masih sebuah kota yang tidak pernah tenang, penuh hiruk-pikuk, bercita-cita tinggi, dan kadangkala boleh menjadi sangat meletihkan.

Apabila membuat liputan mengenai sidang kemuncak antarabangsa yang besar, sering timbul kecenderungan untuk hanya menumpukan perhatian kepada para kenamaan yang berkunjung, sama ada presiden, perdana menteri, atau kedua-duanya sekali yang pergerakan mereka mendominasi kitaran berita.

Namun, sesebuah kota sentiasa mempunyai cara tersendiri untuk mengembalikan segala-galanya kepada perspektif yang lebih nyata.

12 tahun kemudian sejak kali pertama penulis membuat liputan mengenai bandar raya ini, mungkin itulah perkara yang paling menarik perhatian penulis.

Delhi tetap dengan caranya yang tersendiri.

Ada perkara yang berubah sepantas rentak geopolitik, manakala yang lain bergerak selambat aliran trafik Delhi.