Prabowo Ucap Takziah Tragedi Virgo Transport 8, Janji Siasat Punca Insiden

JAKARTA, 16 Sept — Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang terjejas akibat insiden feri Virgo Transport 8 di Laut Jawa dan berjanji usaha akan diteruskan untuk mengenal pasti punca kejadian menerusi siasatan.

Beliau berkata siasatan itu juga akan membantu pihak berkuasa menambah baik langkah mitigasi serta mengambil tindakan sewajarnya bagi mencegah kejadian sama berulang pada masa hadapan.

“Pada masa ini, kita sentiasa mengingati saudara-saudara kita yang terjejas akibat tragedi ini … Kita sentiasa berdoa agar keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan dan ketabahan,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelapa Gading-Manggarai di Stesen Manggarai, Jakarta, yang disiarkan secara langsung.

Virgo Transport 8 yang membawa 243 orang terputus hubungan di perairan Masalembo di Laut Jawa kira-kira 2 pagi waktu tempatan pada Ahad ketika dalam pelayaran dari Surabaya, Jawa Timur ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan.

Kapal itu kemudian ditemukan terbalik di Laut Jawa, mencetuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara besar-besaran bagi mengesan penumpang dan anak kapalnya.

Setakat 10 malam Selasa, seramai 114 orang ditemukan, terdiri daripada 108 mangsa yang terselamat dan enam terkorban, manakala 129 lagi masih hilang.

Sementara itu, Agensi Berita Antara melaporkan Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) pada Rabu memperluas kawasan pencarian kepada 6,120 batu nautika persegi ketika operasi SAR memasuki hari keempat, dengan lebih 1,000 anggota pasukan bersama serta 23 aset udara dan laut dikerahkan.