MELAKA, 21 Sept– Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengingatkan pihak yang mahu bekerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk tidak merundingkan perkara itu menerusi media sosial.
Ab Rauf berkata langkah itu hanya menimbulkan persepsi kurang baik rakyat terhadap mana-mana parti politik yang akan mengambil bahagian pada pilihan raya itu nanti.
“Tak perlu kita berunding dalam media sosial. Kita akan keluarkan surat rasmi kepada semua parti untuk membentangkan bagaimana mereka boleh menjadi rakan strategik terbaik (kepada BN) dan kita akan bentang pada semua peringkat untuk kita buat keputusan.
“Setakat ini, saya amat menghormati semua parti yang berminat untuk bersama-sama kita tetapi ini tertakluk kepada perbincangan rasmi kita yang akan dilakukan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur nanti,” katanya.
Ab Rauf berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan timbalannya Syed Ibrahim Syed Noh serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh.
Ab Rauf berkata BN setakat ini memberi peluang kepada mana-mana pihak untuk melakukan rundingan berhubung PRN Melaka.
“Kita tidak menutup pintu serapat-rapatnya dan kita juga tidak membuka pintu seluas-luasnya untuk rundingan,” katanya.
Pada PRN Melaka lepas, BN yang dipimpin Ab Rauf membentuk kerajaan negeri selepas menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Penggal DUN Melaka berakhir pada 30 Disember ini.
















Tinggalkan Balasan