Pendekatan Pembangunan China Wajar Dicontohi – Pemimpin Angola

BEIJING, 21 Sept — Pendekatan pembangunan China terbukti berkesan, progresif dan wajar dicontohi negara lain, kata Presiden Perhimpunan Kebangsaan Angola Adao de Almeida.

Beliau mengetuai delegasi dalam lawatan ke China dari 9 hingga 16 Sept lepas.

Dalam wawancara eksklusif dengan Kumpulan Media China (CMG), de Almeida berkata lawatan beliau kali ini amat signifikan.

“Kami melihat trend yang amat kukuh di China dalam aspek pembangunan mampan, pertumbuhan, transformasi dan penaiktarafan.

“Ini bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat China, malah perasaan bangga itu turut dikongsi oleh semua sahabat China,” kata de Almeida.

China dan Angola menjalin hubungan diplomatik pada 1983 dan kedua-dua negara bersetuju meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik komprehensif pada 2024.

De Almeida berkata kepelbagaian ekonomi merupakan dasar penting Angola dan kerjasama dengan China memainkan peranan penting dalam proses berkenaan.

Setakat ini, ratusan syarikat China telah melabur, menubuhkan kilang dan menjalankan urus niaga di Angola.

Beliau berkata pemodenan dan kecerdasan buatan (AI) berkait rapat dengan masa kini dan masa depan serta menjadi antara tumpuan di peringkat global.

“Kemajuan dan pengalaman China dalam pembangunan pemodenan dan AI serta perancangannya bagi masa depan amat menarik perhatian pelbagai negara.

“Angola berharap dapat memperkasakan kerjasama dengan China agar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan dan terus seiring dengan pembangunan dunia,” katanya.