MIHAS 2026 Sasar Jana Potensi Perniagaan Lebih RM5 Bilion, Perluas Eksport Halal

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 edisi ke-22 tahun ini disasarkan menjana potensi perniagaan melebihi RM5 bilion selain memperluas akses produk halal Malaysia ke pasaran antarabangsa.

Dianjurkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), acara itu dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung dari 45 negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Indera Abu Bakar Yusof berkata objektif utama penganjuran kali ini adalah bagi mempromosikan produk halal tempatan ke pasaran antarabangsa berikutan potensi besarnya dalam memberi sumbangan kepada eksport negara.

“Kalau kita lihat pada angka baru-baru ini yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ini menghasilkan RM215 bilion eksport pada tahun lepas.

“Jadi, dari segi sumbangannya sebanyak 14.7 peratus iaitu meningkat 10.5 peratus, sekali gus menunjukkan PMKS ini mempunyai daya tahan untuk terus berkembang di pasaran eksport, di pasaran antarabangsa termasuk dalam bidang halal,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata MATRADE telah berjaya merekodkan eksport produk halal bernilai RM68 bilion pada tahun lepas dan menyasarkan jumlah itu meningkat kepada lebih RM80 billion menjelang 2030 selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Justeru, penganjuran kali ini memberi tumpuan untuk menarik lebih banyak PMKS dan usahawan halal tempatan, dengan penyertaan yang terdiri daripada 70 peratus pengusaha tempatan dan 30 peratus syarikat luar negara.

Beliau berkata MIHAS 2026 turut menganjurkan komponen baharu iaitu ‘Wanita dalam Eksport’ atau ‘Women in Export’ (WiEX) bagi memperkasakan wanita tempatan mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa.

Langkah ini menjadikan penganjuran acara itu kali ini menampilkan enam komponen teras iaitu pameran, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), Pusat Ilmu, WiEX, Anugerah MIHAS dan Program Pembeli Taja.

“Satu lagi komponen baharu pada tahun ini iaitu perubahan kepada teknologi menerusi penambahan elemen kecerdasan buatan dalam acara untuk menambah baik aspek perkhidmatan pelanggan dan pengalaman pengunjung,” katanya.

Sehubungan itu, sebuah aplikasi yang dikenali sebagai Aplikasi MIHAS AI (MIHAS AI Apps) diperkenalkan yang memanfaatkan teknologi bagi menyediakan ejen peribadi pintar khusus untuk membantu pempamer, pembeli dan pelawat.

Penganjuran acara berkenaan turut menjadi platform bagi usahawan baharu memperoleh pengetahuan dalam bidang eksport selain meneroka peluang di pasaran antarabangsa.

Beliau berkata potensi pasaran halal global dijangka terus berkembang pada masa hadapan, daripada US$3 trilion kepada US$5 trilion menjelang 2030, sekali gus menawarkan peluang pasaran yang besar.

MIHAS 2026 akan membuka tirainya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bagi tempoh empat hari bermula 23 Sept 2026, dengan menghimpunkan 1,700 syarikat menerusi 2,400 reruai.