KUALA LUMPUR, 22 Sept — Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menjangkakan eksport minyak sawit Malaysia kekal stabil pada sekitar 16 juta tan pada 2027, dengan negara dijangka semakin penting sebagai sumber bekalan kepada pengguna global.
Memetik analisis dan unjuran pasaran global bebas oleh Oil World, MPOC berkata pengeluaran minyak sawit Indonesia dijangka merosot 1.9 juta tan pada 2027, manakala pengeluaran Malaysia diunjurkan berkurangan 0.7 juta tan.
“Eksport Indonesia juga diunjurkan susut hampir tiga juta tan pada 2027, mencerminkan permintaan domestik yang lebih kukuh susulan peningkatan campuran biodiesel serta prospek pengeluaran yang lebih lemah.
“Susulan itu, Malaysia dijangka menjadi sumber minyak sawit yang semakin penting kepada pengguna global, manakala paras stok semasa yang tinggi di negara ini berkemungkinan hanya bersifat sementara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MPOC berkata pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat sedikit sebanyak 1.4 peratus bulan ke bulan kepada 1.81 juta tan pada Ogos 2026, disokong peningkatan kutipan tandan buah segar serta kadar perahan minyak yang lebih baik berbanding Julai.
Bagaimanapun, pengeluaran masih di bawah paras yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus mencatat penurunan tahun ke tahun untuk bulan keenam berturut-turut sejak Mac 2026, manakala eksport minyak sawit terkumpul dari Januari hingga Ogos 2026 meningkat 806,000 tan kepada 10.4 juta tan.
Eksport menyusut 7.5 peratus bulan ke bulan pada Ogos kepada 1.29 juta tan, disebabkan penghantaran yang lebih rendah ke Asia Selatan dan Timur Tengah.
Meskipun eksport bulanan merosot, MPOC berkata eksport bagi keseluruhan tahun diunjurkan mencapai 16.0 juta tan, iaitu 5.2 peratus lebih tinggi berbanding jumlah yang dicatatkan pada 2025.
Sementara itu, gabungan peningkatan pengeluaran dan eksport yang lebih rendah menyebabkan stok minyak sawit meningkat kepada 2.82 juta tan pada Ogos, menurutnya.
Mengenai prospek, MPOC berkata harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh melebihi RM4,700 setan pada Oktober dan berkemungkinan berterusan sepanjang baki tahun ini, disokong ketidaktentuan cuaca serta pasaran tenaga yang memberangsangkan.
“Risiko penurunan utama ialah penurunan harga tenaga dan peningkatan stok selanjutnya, memandangkan pengeluaran minyak sawit lazimnya mencapai paras kemuncak bermusim pada September atau Oktober,” kata MPOC.

















Tinggalkan Balasan