Kerajaan Fokus Tanam Semula Sawit Bagi Tingkat Produktiviti, Pendapatan Pekebun Kecil

KOTA KINABALU, 24 Sept — Usaha penanaman semula sawit terutama bagi menggantikan pokok tua terus menjadi antara fokus kerajaan dalam meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata isu pokok sawit tua perlu diberi perhatian kerana mempunyai kaitan langsung dengan hasil kebun, sekali gus mempengaruhi pendapatan pekebun kecil.

“Antara fokus kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) adalah usaha penanaman semula sawit. Kita turut menyediakan pelbagai manfaat dan insentif kepada pekebun kecil termasuk bagi penanaman semula serta membantu mereka menangani masalah penyakit pokok.

“Yang penting, kita perlu meningkatkan pendapatan pekebun kecil. Bagaimana kita hendak meningkatkan pendapatan mereka? Antaranya dengan menghasilkan buah sawit yang berkualiti, manakala kebolehkesanan juga menjadi fokus kita melalui MSPO untuk membuka lebih banyak ruang ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2026 di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar.

Noraini berkata usaha menggantikan pokok sawit tua dilaksanakan antaranya menerusi Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), yang membantu golongan itu melaksanakan penanaman semula menggunakan bahan tanaman berkualiti tinggi.

Beliau berkata usaha itu penting untuk mewujudkan kebun yang lebih produktif dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil, manakala aspek kebolehkesanan pula semakin penting bagi memenuhi tuntutan pasaran antarabangsa.

Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjadi antara instrumen penting dalam memperkukuh kemampanan industri, dengan hampir 253,000 pekebun kecil persendirian di seluruh negara telah memperoleh pensijilan itu melibatkan lebih 723,000 hektar kawasan tanaman.

Di Sabah, seramai 30,384 pekebun kecil telah memperoleh pensijilan MSPO melibatkan kawasan tanaman melebihi 188,000 hektar atau 97.17 peratus daripada keseluruhan keluasan tanaman sawit milik pekebun kecil persendirian di negeri itu.

Noraini juga berharap pengukuhan industri komoditi termasuk usaha memperkasa pekebun kecil akan terus diberi perhatian.

Beliau berkata dalam Belanjawan 2026, sebanyak RM63.5 juta disediakan untuk memperkukuh pasaran, mempromosikan pensijilan mampan dalam kalangan pekebun kecil serta menangani kempen antiminyak sawit di peringkat global.

PKPKS 2026 yang berlangsung selama dua hari sejak semalam menghimpunkan hampir 800 peserta dari seluruh negara dan menjadi platform perkongsian teknologi serta inisiatif KPK dan MPOB, selain perkongsian pengalaman pemain industri.

Persidangan yang diadakan secara dwitahunan itu memilih Sabah sebagai tuan rumah pada tahun ini selepas penganjuran sebelumnya di Melaka, dengan tumpuan turut diberikan kepada cabaran pekebun kecil serta penyelesaian untuk meningkatkan hasil kebun dan pendapatan mereka.