Malaysia, Kazakhstan Perlu Wujudkan Perkongsian Ilmu Secara Menyeluruh – Zambry

ASTANA, 25 Sept — Malaysia dan Kazakhstan perlu membentuk perkongsian ilmu secara menyeluruh dalam usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi antara kedua-dua negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata perkongsian itu boleh dibangunkan berasaskan lima tonggak utama, iaitu mobiliti pelajar, kolaborasi penyelidikan, pendidikan digital dan teknologi, pengajian tamadun dan kebudayaan serta pembangunan modal insan.

Zambry berkata kerjasama lebih erat dalam bidang berkenaan akan membolehkan universiti di kedua-dua negara memainkan peranan lebih besar dalam menghubungkan Asia Tengah dan Asia Tenggara yang disifatkan beliau sebagai “diplomasi pendidikan”.

“Diplomasi boleh mewujudkan perjanjian; pendidikan mewujudkan persefahaman. Diplomasi boleh membuka sebuah kedutaan tetapi pendidikan membuka minda.

“Kerajaan mewujudkan hubungan rasmi manakala pelajar dan cendekiawan membina hubungan yang mampu bertahan untuk beberapa generasi,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Nasiona Eurasia L.N. Gumilyov di sini hari ini. 

Zambry, yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Astana hingga Ahad, turut menerima anugerah profesor kehormat daripada universiti berkenaan, yang disifatkan beliau sebagai bukan sekadar penghormatan kepada individu malah menjadi simbol persahabatan antara Malaysia dan Kazakhstan, komuniti akademik kedua-dua negara serta kepercayaan bersama terhadap kuasa ilmu.

Lawatan itu turut diadakan sempena Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Asia Tengah 2026 (MAHEF2026) anjuran Education Malaysia Global Services (EMGS), yang menghimpunkan pemegang taruh pendidikan tinggi dari Malaysia dan Asia Tengah dalam usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang termasuk mobiliti pelajar, pendidikan transnasional, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kemahiran digital.

Mengulas mengenai mobiliti pelajar, Zambry berkata lebih 1,400 pelajar Kazakhstan kini melanjutkan pengajian di universiti Malaysia meskipun jumlah itu pernah melebihi 10,000 orang sebelum pandemik COVID-19.

Beliau berkata Malaysia masih mengalu-alukan lebih ramai pelajar Kazakhstan melanjutkan pengajian ke negara ini selain menggalakkan mobiliti dua hala yang melibatkan pelajar Malaysia mengikuti program akademik di Kazakhstan.

Zambry berkata bidang yang berpotensi untk kerjasama termasuk program pascasiswazah dan makmal penyelidikan bersama, kecerdasan buatan, pendidikan digital, penyelidikan iklim dan kelestarian, peralihan tenaga, keterjaminan makanan, teknologi pertanian, kewangan Islam, industri halal, tadbir urus serta keusahawanan.

Beliau turut mencadangkan agar tumpuan lebih besar diberikan kepada konsep “geointelek” seiring dengan pemahaman tradisional mengenai geopolitik dengan menghimpunkan bakat dan kepakaran intelektual bagi memacu pembangunan serta kemajuan.

Zambry berkata kedudukan strategik Malaysia di Asia Tenggara dan Kazakhstan yang terletak di tengah-tengah Eurasia menawarkan kekuatan saling melengkapi, yang boleh dimanfaatkan menerusi kerjasama antara universiti, penyelidik serta pelajar.

“Malaysia dan Kazakhstan dipisahkan oleh jarak namun ilmu tidak mengenal sempadan. Di mana ilmu berkembang, persahabatan turut berkembang. Dan apabila persahabatan berkembang maka di situlah keamanan mendapat ruang untuk bermula,” katanya.

Malaysia dan Kazakhstan menjalinkan hubungan diplomatik pada 1992, dengan hubungan dua hala merangkumi kerjasama dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, budaya dan hubungan sesama rakyat.

Dalam pada itu, Zambry turut merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Kazakhstan susulan kematian 14 anggota tenteranya yang dihanyutkan ke Laut Kaspia semasa menjalani latihan ketenteraan di wilayah Mangystau pada Khamis berikutan keadaan cuaca yang secara tiba-tiba semakin buruk.