WASHINGTON, 25 Sept — Iran tidak mahu berperang dengan Amerika Syarikat (AS) dan kekal bersedia untuk mencapai penyelesaian melalui rundingan, kata Presiden Masoud Pezeshkian pada Khamis ketika ketegangan antara kedua-dua negara masih berterusan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam wawancara eksklusif bersama Bret Baier dari Fox News, Pezeshkian ditanya sama ada Iran memilih peperangan atau perjanjian.
“Kami tidak memilih peperangan. Peperangan dipaksa ke atas kami. Kami tidak mahu berperang,” kata Pezeshkian.
Beliau berkata Iran kekal bersedia untuk meneruskan usaha mencapai perjanjian dengan Washington, merujuk memorandum pada Jun yang menetapkan perjanjian damai muktamad dicapai dalam tempoh 60 hari, namun gagal dimuktamadkan susulan perbezaan berkaitan pelayaran di Selat Hormuz.
“Kami sememangnya telah mencapai persetujuan dengan presiden anda (Donald Trump).
“Berdasarkan perkara itu, kami bersedia dan masih mahu meneruskannya,” kata beliau.
Presiden Iran itu berkata AS yang perlu membuat keputusan sama ada mahu menamatkan peperangan atau sebaliknya.
Ditanya sama ada Iran akan melepaskan uranium diperkaya sehingga 60 peratus yang dimilikinya, Pezeshkian berkata negara itu akan mematuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).
“Ya. Dalam kerangka undang-undang antarabangsa, berdasarkan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear, apa sahaja yang perlu kami patuhi, kami akan patuhi,” kata beliau.
Wawancara itu turut menyentuh hubungan Iran di rantau berkenaan, termasuk dengan Hzbullah dan Houthi.
Apabila Baier bertanya sama ada Iran akan berhenti membekalkan senjata kepada Hizbullah dan Houthi sebagai sebahagian daripada perjanjian serta mengarahkan kumpulan Yaman itu supaya menghentikan serangan terhadap Arab Saudi, Pezeshkian berkata Houthi bertindak secara bebas.
“Houthi bertanggungjawab terhadap tindakan mereka sendiri. “Mereka tidak menerima arahan daripada kami,” kata beliau.
Pezeshkian turut menolak dakwaan bahawa Iran menutup Selat Hormuz, laluan perairan strategik yang sebelum ini menjadi laluan bagi satu perlima bekalan minyak dunia.
Baier turut bertanya kepada Pezeshkian mengenai Pemimpin Tertinggi Ayatollah Mojtaba Khamenei yang tidak dilihat di khalayak ramai sejak menggantikan bapanya, Ali Khamenei, yang terbunuh dalam serangan AS-Israel pada akhir Februari.
Pezeshkian berkata beliau bertemu Khamenei secara bersemuka hampir sebulan lalu dan meluangkan kira-kira tujuh jam bersamanya.
Ditanya sama ada pemimpin tertinggi itu berada dalam keadaan sihat dan mampu mentadbir, Pezeshkian menjawab: “Ya, sangat sihat, sepenuhnya.”













Tinggalkan Balasan