APMM Tahan Vesel Nelayan Tempatan Tangkap Ikan Di Zon Larangan

MERSING, 25 Sept — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah vesel nelayan tempatan yang disyaki menangkap ikan di zon tidak dibenarkan berhampiran Pulau Tinggi di sini, semalam.

Pengarah Maritim Zon Mersing Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata vesel itu ditahan pada kedudukan kira-kira 6.8 batu nautika timur laut pulau tersebut dalam pelaksanaan Ops Jaksa, Ops Tiris 4.0 dan Ops Mardof pada 11 pagi.

“Vesel itu dikendalikan lima kru terdiri daripada empat lelaki Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 30 hingga 50 tahun.

“Pemeriksaan mendapati vesel itu disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah menunda dan melanggar syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaizan berkata mereka yang ditahan serta vesel dan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Kes mengikut Akta Perikanan 1985.