KUALA LUMPUR, 29 Sept — Golongan profesional perlu memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan produktiviti, memperkukuh tadbir urus serta memastikan pembangunan negara dipacu dengan tahap kecekapan dan kepakaran yang tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kemajuan sesebuah negara tidak hanya bergantung pada pertumbuhan ekonomi, sebaliknya turut memerlukan tenaga profesional yang mantap untuk memastikan peningkatan produktiviti serta tadbir urus negara yang lebih teratur.
“Bukan sekadar memacu pertumbuhan dan menjamin peningkatan produktiviti, tetapi (golongan profesional) juga memastikan tatakelola dalam negara yang lebih teratur,” kata beliau ketika berucap pada majlis Persidangan dan Pameran Profesional 2026 (PROFEX 2026) dan Hari Ikhtisas Malaysia di sini, hari ini.
Acara berkenaan merupakan platform nasional yang menghimpunkan badan profesional dalam negara, kerajaan, pemimpin industri, ahli akademik, agensi kerajaan, sektor swasta, mahasiswa serta bakat-bakat baharu.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerjasama antara penggubal dengan pelaksana dasar termasuk pimpinan politik, penjawat awam serta golongan profesional amat penting bagi memastikan negara bergerak pantas sebagai satu pasukan dalam meningkatkan produktiviti.
Anwar berkata golongan profesional turut memikul tanggungjawab untuk membantu memastikan sebarang amalan dan budaya yang merugikan negara dihentikan, selain berani menolak salah guna kuasa serta rasuah.
Beliau berkata tahap pengkhususan dan kepakaran golongan profesional menjadi antara faktor penting yang menentukan peningkatan produktiviti, khususnya ketika berdepan dengan perkembangan pesat dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan transformasi digital.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya pengkhususan tidak menyebabkan golongan profesional hanya tertumpu pada bidang masing-masing sehingga mengabaikan keperluan untuk bekerjasama dan memahami bidang lain.
“Pengkhususan itu satu kemestian, tetapi jangan jadikannya sebagai barbarisme pengkhususan,” kata beliau sambil menekankan kepentingan integrasi dan kerjasama antara pelbagai disiplin.
Selain itu, menurut beliau, kekuatan golongan profesional Malaysia turut berpaksikan kepelbagaian disiplin, kaum dan wilayah yang wajar digembleng bagi membentuk kesatuan kukuh dalam mengangkat martabat negara.
“Kita belajarlah untuk menghimpunkan kekuatan ini bagi membina satu kesatuan yang lebih kukuh dan ampuh,” kata beliau.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa profesionalisme perlu berteraskan nilai integriti, keadilan dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat, bukan sekadar kecemerlangan teknikal semata-mata.
Beliau berkata golongan profesional juga perlu berani bersuara dan memainkan peranan dalam memastikan negara ditadbir dengan baik.
Sementara itu, Anwar mengumumkan 29 Sept setiap tahun sebagai Hari Ikhtisas Malaysia yang disifatkannya mempunyai kewajaran dan kebijaksanaan dalam menghimpunkan kekuatan badan profesional negara.
Beliau berkata penetapan itu selaras dengan usaha memperkukuh kerjasama dan integrasi antara golongan profesional dalam mendukung transformasi serta masa depan Malaysia.
“Apabila dicadangkan 29 Sept sebagai Hari Ikhtisas Malaysia, saya setuju kerana ada kewarasannya. Ada kebijaksanaan,” kata Perdana Menteri.
















Tinggalkan Balasan