KUALA LUMPUR, 2 Okt — Platform pengekodan berasaskan kecerdasan buatan (AI), ILMUcode akan diperluas ke institusi pengajian tinggi (IPT) lain bagi memudahkan proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata peluasan platform yang dibangunkan oleh YTL AI Labs itu memberikan peluang kepada mahasiswa membina kemahiran digital dan menghasilkan inovasi sejak awal pengajian.
“Saya menghargai komitmen YTL menyokong hampir 800 pelajar baharu Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya secara percuma sebagai projek perintis ILMUcode.
“Kerjasama universiti dan industri seperti ini penting untuk menyediakan bakat yang mampu mencipta teknologi serta menyelesaikan masalah sebenar,” katanya menerusi hantaran di Facebook bersempena dengan pelancaran platform itu, semalam.
Mengulas lanjut, Zambry berkata ledakan AI membuka ruang yang luas untuk mahasiswa menterjemahkan idea kepada aplikasi dan penyelesaian yang memberikan manfaat kepada masyarakat.
“Pesan saya kepada mahasiswa, beranilah mencuba dan membangunkan idea. Kuasai teknologi dengan ilmu, gunakan dengan penuh tanggungjawab dan pastikan manfaatnya sampai kepada masyarakat,” katanya.
ILMUcode ialah platform pengekodan berasaskan AI pertama yang diperkenalkan di UM bagi membolehkan pembangun dan pelajar mengakses keupayaan pengekodan termaju pada kos lebih rendah.















Tinggalkan Balasan