Perlumbaan F1 GP Bahrain Disiar Secara Langsung Di RTM – Anwar

KUALA LUMPUR, 2 Okt — Perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 yang bermula esok akan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah tersebut membolehkan kemeriahan perlumbaan bertaraf dunia itu dapat dinikmati bersama oleh seluruh rakyat negara ini.

“Berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia! RTM akan menyiarkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 secara langsung agar kemeriahan perlumbaan ini dapat dinikmati bersama.

“Saya berharap siaran langsung ini memberi peluang kepada rakyat di seluruh pelosok tanah air untuk merasai debaran perlumbaan bertaraf dunia dari Litar Antarabangsa Sepang (SIC),” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perlumbaan F1 GP Gulf Air Bahrain 2026 akan berlangsung di SIC bermula esok hingga Ahad.

Semalam, Anwar menyertai Pit Lane Walk bersempena dengan perlumbaan tersebut dan  berkongsi perkembangan persiapan penganjuran dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa.

SIC dipilih menjadi tuan rumah F1 GP Gulf Air Bahrain 2026, sekali gus menjadikan litar ikonik berkenaan sebagai lokasi sementara bagi perlumbaan berprestij Bahrain itu.

Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah perlumbaan itu dari 2 hingga 4 Okt susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.