Pakistan Eksport 70,000 Tan Beras Lagi Ke Malaysia

PELABUHAN KLANG 22 SEPTEMBER 2023. Sebuah kedai runcit di Pangsapuri Taman Suria Pendamar, Pelabuhan Klang menjual beras putih import di dalam guni berikutan kekurangan bekalan beras putih tempatan ketika ini. beras putih import dalam guni dijual RM3.50 sekilogram. STR / FAIZ ANUAR

HYDERABAD, 3 Okt — Pakistan bakal mengeksport 70,000 tan beras lagi ke Malaysia bermula Oktober hingga Disember 2026, susulan usaha diplomatik dan komersial yang dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri Shehbaz Sharif.

Pesanan eksport baharu bagi beras berkenaan amat signifikan kepada sektor pertanian Pakistan, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Pakistan pada Jumaat.

“Kejayaan mendapatkan tambahan eksport 70,000 tan metrik beras Pakistan ini adalah hasil usaha diplomatik dan komersial yang berkesan atas arahan Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu.

Meningkatkan akses ke pasaran global bagi komoditi pertanian Pakistan merupakan keutamaan tertinggi kerajaannya, kata Shehbaz.

Pakistan, yang merupakan pengeluar utama beras basmati premium beraroma ekstra panjang, telah mengenal pasti Malaysia berpotensi menjadi pasaran utama bagi pertumbuhan perdagangan komoditi.

Satu delegasi Pakistan yang dianggotai Setiausaha Kementerian Keterjaminan Makanan Negara Amer Ali Ahmed, Setiausaha Kementerian Perdagangan Jawad Paul serta wakil Persatuan Pengeksport Beras Pakistan (REAP) telah menyertai pameran perdagangan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Kuala Lumpur baru-baru ini dan mengadakan perbincangan perdagangan beras bersama eksekutif tertinggi Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Pakistan juga berhasrat untuk meningkatkan eksport daging ke Malaysia.