230 Kg Emas Terjual Dalam Tiga Hari Pameran Emas Laos

PHNOM PENH, 3 Okt — Pengguna Laos membeli 230 kilogram (kg) emas bernilai US$33 juta (RM135 juta) dalam masa hanya tiga hari sepanjang Festival Emas Laos 2026 pada 4-6 Sept lepas, yang menarik lebih 50,000 pengunjung.

Angka itu dikeluarkan baru-baru ini dalam sidang media pascaacara.

Jualan tinggi itu dicapai meskipun permintaan global lebih lemah dan kenaikan harga sekali gus menunjukkan isyarat jelas bahawa pembeli Asia yang sensitif harga tidak menjauhkan diri daripada logam berharga itu.

Festival itu mengukuhkan matlamat kerajaan untuk menjadikan Laos sebagai hab emas ASEAN.

“Orang di Laos percaya emas merupakan pelaburan yang selamat. Mereka melindung nilai daripada risiko seperti susut nilai mata wang, inflasi atau tekanan ekonomi.

“Terdapat kesedaran yang semakin meningkat mengenai kepentingan emas. Pengguna membeli untuk tujuan pelaburan dan secara tradisinya mereka membeli emas untuk majlis perkahwinan dan perayaan,” Naib Presiden Persatuan Emas dan Barang Kemas Laos, Chanthavong Phamisith memberitahu Bernama dari Vientiane.

Emas mencecah paras tertinggi sepanjang masa lebih US$5,500 (RM22,467) seaun pada Januari 2026, sebelum merosot mendadak kepada US$4,000 (RM16,340) menjelang Jun, kata laporan pasaran suku kedua Persatuan Pasaran Bullion London yang dikeluarkan pada Julai.

Harga sejak itu stabil dalam julat US$4,000 (RM16,340) – US$4,200 (RM17,157), masih 16 peratus lebih tinggi berbanding setahun lepas.

Lonjakan itu didorong oleh konflik Asia Barat, yang meletus pada akhir Februari, mendorong pelabur beralih kepada emas sebagai pelaburan selamat.

Majlis Emas Dunia dalam laporan Julainya berkata permintaan barang kemas emas global jatuh kepada 278 tan pada suku kedua tahun ini, penurunan 17 peratus tahun ke tahun.

Pembeli utama seperti China dan India, yang terkenal dengan tabiat membeli emas mereka, menghadapi penurunan jualan yang ketara.

Permintaan barang kemas di China jatuh sebanyak 28 peratus, manakala pasaran India menyusut 15 peratus, menurut majlis itu.

Bagaimanapun di Laos, minat untuk emas tidak pudar. Pengguna masih melabur dalam jongkong dan barang kemas berjenama.

“Orang ramai lebih mempercayai aset fizikal berbanding mempunyai baki bank atau saham. Ia juga mudah ditukar kepada tunai dan cara terbaik untuk menyelamatkan kekayaan mereka. Ia adalah cara fikir tradisional,” kata Chanthavong.

Logam kuning itu kini bersaing dengan penjana hasil utama Laos yang lain seperti pelancongan, kopi dan eksport elektrik, yang boleh memacu ekonomi negara yang dikurung daratan serta masih dikategorikan sebagai Negara Kurang Maju.

Kerajaan Laos bercadang untuk keluar daripada status itu akhir tahun ini.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 900 kedai emas, 5,000 tukang emas dan 20,000 tukang memacu sektor yang berkembang pesat sejak sedekad lalu, katanya.

Kilang Penapisan Logam Berharga Laos-Antarabangsa, yang mula beroperasi pada Mac tahun ini, mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan 150 tan metrik emas setiap tahun.

Negara itu boleh mengeluarkan 20 tan metrik barang kemas setiap tahun.

Persatuan itu yakin Laos mampu muncul sebagai hab emas ASEAN kerana ia mempunyai infrastruktur utama yang sedia ada.

“Ini boleh berlaku kerana kami telah mencipta ekosistem yang baik. Kami mempunyai tenaga kerja, lombong emas, pengeluar, sekolah tukang emas untuk melatih bakat dan untuk berdagang ada Lao Bullion Bank. Semuanya sudah sedia,” kata Chanthavong.

Terletak secara strategik di Asia Tenggara, bersempadan dengan pasaran utama iaitu Thailand, China dan Vietnam, industri emas Laos boleh muncul sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara.